Produk Sime Darby Plantation tidak lagi dihasilkan menggunakan buruh paksa - Kastam AS | DagangNews Skip to main content

Produk Sime Darby Plantation tidak lagi dihasilkan menggunakan buruh paksa - Kastam AS

KUALA LUMPUR 3 Feb - Pihak berkuasa kastam Amerika Syarikat (AS) memutuskan bahawa produk minyak sawit yang dibuat oleh Sime Darby Plantation Malaysia tidak lagi dihasilkan dengan buruh paksa, menurut laporan Reuters memetik notis Daftar Persekutuan AS (US Federal Register).

 

Produk yang dihasilkan Sime Darby Plantation sebelum ini disekat daripada memasuki AS sejak 2020 kerana disyaki menggunakan buruh paksa.

 

Pada tahun lalu, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS berkata, mereka mempunyai maklumat yang mencukupi bahawa firma itu menggunakan buruh paksa dan barangan import firma tersebut disita.

 

Kesannya, Sime Darby Plantation melantik perunding perdagangan beretika untuk mengaudit kemudahannya dan memperuntukkan kira-kira AS$20 juta pada tahun lalu bagi membayar pampasan kepada pekerja asing semasa dan bekas pekerja yang membayar yuran pengambilan untuk mendapatkan pekerjaan di firma itu.

 

Menurut Reuters, CBP memetik maklumat tambahan yang diterimanya berkata ia kini "menentukan bahawa produk itu tidak lagi dilombong, dikeluarkan atau dikilang sepenuhnya atau sebahagiannya dengan penggunaan buruh banduan, paksa, atau terikat oleh Sime Darby Plantation".

 

CBP tidak menyatakan bukti yang diterimanya atau sama ada larangan import firma itu telah ditarik balik dan agensi itu juga tidak menjawab permintaan untuk komen.

 

Sime Darby yang menyedari notis AS itu berkata, "Kami optimis bahawa langkah besar yang telah kami lakukan dalam memperkukuh kualiti hidup tenaga kerja kami tidak lama lagi akan diiktiraf oleh CBP dan kami akan dibenarkan untuk menyambung semula eksport ke AS," kata seorang jurucakap dalam emel kepada Reuters.

 

Sime Darby Plantation adalah antara lapan firma Malaysia yang telah diharamkan oleh AS sejak empat tahun lalu kerana dakwaan buruh paksa.

 

Malaysia pada 2021 mengumumkan rancangan kerajaan untuk menghapuskan amalan penderaan seperti ikatan hutang, asrama yang tidak bersih untuk pekerja dan kerja lebih masa yang berlebihan menjelang 2030. – DagangNews.com