Program pertukaran pelajar UPM perkasa hubungan Malaysia, Jepun | DagangNews Skip to main content

Program pertukaran pelajar UPM perkasa hubungan Malaysia, Jepun

Prof Madya Dr Omrah Hassan @ Hussin (tengah) bersama pelajar Jepun dan ibu bapa angkat daripada anggota KRT Taman Sri Serdang, Selangor.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Mac - Seramai 10 pelajar dari tiga buah universiti di Jepun menyertai Program Japan-East Asia Network of Exchange for Students and Youths (Jenesys) Outbound dengan mengadakan lawatan serta mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti bersama pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan komuniti Taman Sri Serdang, Selangor baru-baru ini.

 

UPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, program itu bertujuan menggalakkan persefahaman di peringkat belia antara Jepun dengan Asia Pasifik di samping membina jaringan perhubungan serta kerjasama masa depan. 

 

Katanya, ia juga menggalakkan pemahaman mengenai ekonomi, masyarakat, sejarah, budaya, politik dan hubungan diplomatik Jepun. 

 

"Untuk tujuan ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memilih Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM bagi mengendalikan program pertukaran universiti bersama pelajar UPM serta aktiviti dengan anggota masyarakat setempat.

 

"Antara aktiviti menarik yang diadakan termasuk, sesi dialog, pertukaran idea dan pandangan serta perkongsian budaya antara pelajar UPM dengan Jepun, aktiviti memetik sayur dan mempelajari proses penghasilan madu kelulut di ladang Fakulti Pertanian UPM.

 

"Selain itu, aktiviti 'home visit' berkonsepkan program anak angkat yang mana 10 pelajar Jepun dari Hokkaido University of Education, Kochi University dan Gifu University ditempatkan di lima buah keluarga angkat daripada anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Serdang," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, penduduk tempatan mengambil peluang untuk mengajar budaya masyarakat majmuk di Malaysia dengan menyediakan pelbagai juadah tradisional seperti roti jala, ubi rebus, tose serta kuih bakul, selain bermain congkak dan menyediakan pakaian baju kurung, baju melayu, cheongsam serta kurta untuk dipakai para peserta Jepun.

 

 

upm

 

 

upm

 

 

Sementara itu, Pengarah PKPP UPM, Prof Madya Dr Omrah Hassan @ Hussin berkata, beliau berharap program pertukaran belia dapat terus dilaksanakan sebagai aktiviti tahunan demi manfaat bersama.

 

Katanya, penglibatan pelajar UPM dan Jepun dalam program pertukaran belia seperti ini pastinya boleh membantu memperkasakan Dasar Pandang Ke Timur melalui kerjasama strategik antara belia Malaysia dengan Jepun.

 

 

upm

 

 

upm

 

 

“Kita mahu pelajar UPM khususnya merebut peluang ini untuk mempelajari pelbagai nilai murni dari masyarakat Jepun yang boleh dijadikan contoh seperti ketepatan masa serta menitikberatkan soal kebersihan dalam kehidupan seharian," katanya.

 

Beliau juga berharap belia mengambil kesempatan melalui program seperti ini untuk mengadakan lawatan ke Jepun bagi mempelajari dengan lebih mendalam budaya mereka selain mempromosikan budaya dan amalan rakyat Malaysia. - DagangNews.com