Prospek pasaran bangunan pejabat masih suram, HLIB kekal saranan 'pegang' terhadap KLCCP | DagangNews Skip to main content

Prospek pasaran bangunan pejabat masih suram, HLIB kekal saranan 'pegang' terhadap KLCCP

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 2 Feb - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'pegang' terhadap KLCC Property Holdings Bhd (KLCCP) dengan harga sasaran tidak berubah pada RM6.50 sesaham memandangkan pasaran bangunan pejabat kekal dalam keadaan suram memasuki 2023.

 

Ini memandangkan bangunan pejabat terus membanjiri pasaran dan seterusnya menghalang penghunian dan kadar sewa industri.

 

Menurut firma itu, diimbangi oleh pajakan bersih tiga kali ganda jangka panjangnya dengan syarikat multinasional (Petronas, ExxonMobil), portfolio pejabat KLCC REIT sepatutnya berdaya tahan secara relatif.

 

"Segmen runcit dijangka kekal cergas berikutan musim perayaan pada separuh pertama 2023 serta pembukaan semula sempadan di kebanyakan negara (termasuk China), yang kami percaya akan terus meningkatkan jumlah pelancong asing di Suria KLCC.

 

"Pada masa sama, Hotel Mandarin Oriental akan terus memberikan penambahbaikan seiring dengan pemulihan beransur-ansur sektor pelancongan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan pada Selasa, keuntungan bersih KLCCP melonjak kepada RM782.66 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) daripada RM495.85 juta setahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat 24.6% kepada RM1.46 bilion daripada RM1.17 bilion.

 

Pada suku keempat 2022, keuntungan bersih syarikat itu meningkat hampir empat kali ganda kepada RM279.47 juta daripada RM70.33 juta pada suku keempat 2021 manakala pendapatan meningkat kepada RM414.26 juta daripada RM348.17 juta sebelumnya disokong oleh pemulihan yang kukuh dalam segmen runcit dan hotel.

 

Segmen runcit mengekalkan momentum pemulihan dan menokok 4.5% dalam pendapatan daripada RM120 juta kepada RM125.4 juta, disumbangkan oleh peningkatan jualan runcit dan jualan penyewa yang lebih kukuh.

 

Selain itu, pemulihan yang ketara dalam segmen hotel menyaksikan pendapatan meningkat lebih dua kali ganda kepada RM49.1 juta disebabkan oleh pelancongan domestik bertambah baik, peningkatan trafik masa lapang antarabangsa dan permintaan untuk mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) meningkat.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya Md Shah Mahmood berkata, keputusan suku keempat yang positif kumpulan itu mencerminkan daya tahan perniagaannya lebih-lebih lagi dalam persekitaran yang mencabar.

 

Setakat 11.54 pagi ini, harga saham KLCCP susut 2 sen atau 0.28% kepada RM7.03 dengan 38,200 saham diniagakan. - DagangNews.com