Prospek pendapatan Gabungan AQRS dijangka berdaya tahan didorong beberapa projek pembangunan – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Prospek pendapatan Gabungan AQRS dijangka berdaya tahan didorong beberapa projek pembangunan – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Mac - Prospek Gabungan AQRS Berhad kekal berdaya tahan memandangkan kumpulan itu mempunyai beberapa projek untuk tahun-tahun akan datang dan menampan dengan baik oleh risiko kelemahan daripada ruang infrastruktur awam, kata RHB Investment Research.

 

Susulan lawatannya ke tapak projek LRT3, firma itu positif terhadap prospek kumpulan itu memandangkan selepas projek itu selesai, pendapatan kumpulan akan dipacu oleh beberapa usaha sama pembangunan hartanah baharu.

 

Selain itu, pengenalan skim Malaysia My Second Home juga berpotensi menyokong jualan unit projek hartanahnya The Peak di Johor dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM603 juta, menurut firma itu dalam nota terkini.

 

Firma itu berkata, setakat akhir Disember 2022, projek LRT3 tersebut telah siap kira-kira 75% yang dijangka selesai menjelang suku keempat tahun ini.

 

“Projek LRT3 dianggarkan menyumbang kira-kira RM82 juta dalam aliran tunai operasi bersih sehingga tahun kewangan 2025 (FY25), tidak termasuk sebarang kemungkinan kerja pengembalian semula stesen Temasya yang boleh membawa nilai kerja kumpulan berjumlah RM100 juta hingga 200 juta kepada buku pesanan tertunggaknya sebanyak RM956 juta pada akhir tahun kewangan 2022 (FY22),” ujar firma itu.

 

Di samping itu, AQRS telah mengemukakan variasi tuntutan harga untuk projek infrastruktur berjumlah RM22 juta di samping tuntutan kos tambahan yang ditanggung semasa pelbagai perintah kawalan pergerakan penuh (PKP).

 

“Secara positifnya, kos ini telah pun ditanggung dan diiktiraf, dan sebarang tuntutan berjaya harus menyumbang secara langsung kepada pendapatan.

 

Tahun lalu, kumpulan itu juga berjaya menerima sejumlah RM26 juta tuntutan kerugian dan perbelanjaan untuk projek PR1MA Gambangnya.

 

Selepas itu, ia telah memeterai perjanjian usaha sama dengan PR1MA Corp Malaysia, untuk menjadi pemaju perbandaran darat seluas 100 hektar dengan anggaran GDV RM336 juta yang disasarkan pelancarannya pada separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24).

 

Firma itu turut memaklumkan pemangkin kumpulan pada masa akan datang adalah projek Lebuhraya Pan Borneo (PBH) Sabah yang mungkin memanfaatkan perniagaan pratuang miliknya, Sedco Precast Sdn Bhd.

 

Tambahnya, kontrak untuk membekalkan komponen pratuang kepada PBH Sabah dianggarkan pada julat RM400 juta hingga 500 juta.

 

Oleh itu, RHB Investment mengekalkan saranan ‘beli’ pada harga sasaran (TP) 46 sen. -DagangNews.com