Prospek sektor semikonduktor lemah, CGS-CIMB turunkan penarafan kepada 'neutral' | DagangNews Skip to main content

Prospek sektor semikonduktor lemah, CGS-CIMB turunkan penarafan kepada 'neutral'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Okt - CGS-CIMB Research menyemak turun penarafan sektor semikonduktor kepada 'neutral' daripada 'overweight' sebelum ini berikutan kelemahan permintaan industri dan prospek pendapatan yang lembap dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.

 

Penganalisisnya, Mohd Shanaz Noor Azam berkata, sektor itu dijangka merekodkan pertumbuhan untung bersih yang lebih rendah tahun ini sebanyak 10% dan 5% pada 2023 berbanding 45% pada 2021 disebabkan permintaan industri yang perlahan di tengah-tengah prospek ekonomi global yang lemah. 

 

Katanya, pertumbuhan itu akan dipacu pergerakan kadar tukaran asing yang menyaksikan ringgit setakat ini susut 11.7% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan pemacu pertumbuhan struktur seperti peningkatan penggunaan silikon karbida (SiC) dan galium nitrida (GaN). 

 

"Bagaimanapun, kami masih melihat risiko penurunan utama kepada pendapatan sektor memandangkan pencernaan inventori semikonduktor yang lebih lama daripada jangkaan dan kemelesetan global," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pada Ogos lalu, Statistik Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) menyemak turun unjuran jualan semikonduktor bagi 2022 dan 2023 masing-masing sebanyak 13.9% dan 4.6% daripada unjuran yang dibuat pada Jun sebanyak 16.3% dan 5.1% terutamanya disebabkan pengurangan harga. 

 

Walaupun kumpulan penyelidik industri masih menjangkakan pertumbuhan jualan semikonduktor yang positif pada 2022, tetapi kebanyakannya mengunjurkan penurunan purata sebanyak 4% tahun ke tahun dalam jualan industri semikonduktor pada 2023 terutamanya disebabkan jangkaan kelembapan dalam ekonomi global dan pembetulan inventori.

 

Susulan itu, Mohd. Shanaz menjangkakan jualan industri bagi suku ke suku pada suku ketiga ini akan lebih perlahan berikutan panduan yang lebih lemah daripada 15 pengeluar cip semikonduktor (kecuali memori) global, yang mengunjurkan pertumbuhan purata jualan sebanyak 1% pada suku ketiga 2022.

 

Menurutnya, sektor semikonduktor Malaysia bagi peralatan ujian automatik (ATE) dan pemasangan & ujian semikonduktor penyumberan luar (OSAT) juga diunjur mencatat penurunan suku ke suku sebanyak 5% dalam jualan dan 8% dalam keuntungan bersih secara agregat pada suku berkenaan.

 

"Ini disebabkan kelembapan permintaan pengguna elektronik terutamanya mudah alih dan tablet, serta impak daripada dasar sifar COVID-19 di China yang berterusan menjejaskan gangguan rantaian bekalan dan proses kelayakan pelanggan," jelasnya.

 

Beliau mendapati pemain segmen OSAT dan ATE di bawah liputan CGS-CIMB mengalami penurunan saham antara 25% hingga 68% yang mencerminkan ketidaktentuan permintaan global menjelang 2023. 

 

Katanya, ia juga disebabkan sentimen lemah dalam sektor teknologi global di tengah-tengah persekitaran kadar faedah tinggi dan tekanan kos inflasi.

 

"Namun begitu, semua pemain ini mempunyai kedudukan kunci kira-kira yang kukuh untuk menghadapi ketidaktentuan jangka pendek dengan kesemua tujuh syarikat ATE dan OSAT di bawah liputan kami mempunyai kedudukan tunai bersih setakat akhir Jun 2022," katanya.

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB menyukai Inari Amertron Bhd. yang dilihat sebagai proksi untuk pertumbuhan nilai kandungan frekuensi radio (RF) disokong peningkatan penembusan telefon pintar 5G di seluruh dunia.

 

Firma itu juga berpendapat Pentamaster Corp Bhd. akan terus merekodkan penambahan pesanan yang kukuh memandangkan pesanan tertunggaknya berjumlah hampir RM500 juta setakat akhir Jun 2022.

 

Ia memberi penarafan 'tambah' kepada Inari manakala 'pegang' terhadap Pentamaster dengan harga sasaran masing-masing pada RM3.15 dan RM4.15 sesaham. -DagangNews.com