KUALA LUMPUR 20 Nov - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendesak agar Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO dengan segera selepas parti itu dan Barisan Nasional (BN) menerima kekalahan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, tindakan itu perlu dilakukan selepas berlakunya tsunami dalam PRU15 yang menyaksikan orang Melayu tidak lagi mememilih UMNO.
Katanya, UMNO dan BN hanya menang sembilan kerusi di Parlimen Johor dan gagal meraih sebarang kerusi di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Terengganu.
"Oleh itu, dengan rasa penuh hormat dan takzim, saya memohon supaya YB (Yang Berhormat) Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai presiden pada kadar yang segera, seperti yang dilakukan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2018," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Onn Hafiz berkata, walaupun pahit untuk ditelan, pemimpin UMNO termasuk dirinya perlu kembali mendengar suara rakyat yang telah diterjemahkan melalui undi PRU15.
Beliau berkata, ramai pemimpin UMNO, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi terkorban kerana mereka enggan mendengar denyut nadi akar umbi.
"Kita semua perlu berani membuat perubahan kearah kebaikan demi masa depan parti ini.
"Usaha untuk memulih dan memperbaiki parti ini perlu bermula sekarang. Jika kita tidak berubah sekarang, kita tidak akan memenangi satu kerusi pun pada masa akan datang.
"Tindakan berjiwa besar ini akan membantu kita mengambil langkah pertama untuk memulihkan dan menguatkan kembali parti UMNO yang kita semua cintai ini," katanya.
Berdasarkan keputusan rasmi sehingga 4.30 pagi ini, memenangi 76 kerusi manakala parti gabungannya DAP di Sarawak mendapat lima kerusi dan MUDA menang satu kerusi, menjadikan keseluruhan 82 kerusi Parlimen diperoleh gabungan itu.
Gabungan Perikatan Nasional (PN) dan PAS pula memperoleh 73 kerusi Parlimen selepas masing-masing menang 51 dan 22 kerusi.
Selain itu, Barisan Nasional (BN) memperoleh 30 kerusi diikuti Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan calon Bebas (dua). - DagangNews.com