PublicInvest berhati-hati dengan prospek pendapatan jangka pendek Reservoir Link dalam segmen RE akibat tekanan inflasi | DagangNews Skip to main content

PublicInvest berhati-hati dengan prospek pendapatan jangka pendek Reservoir Link dalam segmen RE akibat tekanan inflasi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jan - Public Investment Bank (PublicInvest) kekal berhati-hati dengan prospek pendapatan jangka pendek Reservoir Link Energy Berhad dalam segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) akibat tekanan inflasi.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu berjaya memperoleh kontrak baharu dalam segmen itu dan ia merupakan perkembangan positif kepada mereka dalam mengukuhkan kedudukan dalam segmen RE.

 

"Kami bagaimanapun menyemak turun penarafan kumpulan itu kepada 'underperform' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 31 sen sesaham," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Terdahulu, Anak syarikat Reservoir Link Energy Bhd, Founder Energy Sdn Bhd memperoleh pesanan pembelian RM11.4 juta daripada anak syarikat milik penuh Sunview Group Bhd, Fabulous Sunview Sdn Bhd, untuk pembangunan loji solar fotovoltaik (PV) berskala besar di Malaysia.

 

Syarikat itu akan membekalkan sistem panel solar antara Januari dan April 2023.

 

BACA JUGA: Reservoir Link raih kontrak bekal struktur pelekap loji solar PV bernilai RM11.4 juta

 

Firma itu berkata, margin keuntungan dalam segmen RE adalah lebih rendah berbanding minyak dan gas.

 

Katanya, dengan andaian margin keuntungan sebanyak 7% bagi segmen itu, pesanan pembelian dijangka menyumbang sekitar RM400,000 kepada keuntungan kumpulan selepas mempertimbangkan kepentingan minoriti Founder Energy.

 

"Walaupun tiada lokasi khusus dinyatakan untuk penghantaran pesanan, semakan kami mendedahkan Fabolous Sunview kini mempunyai lapan projek loji PV LSS yang sedang dijalankan di seluruh Malaysia untuk disiapkan menjelang 2024.

 

"Pesanan itu mungkin berisiko rendah tetapi kos pengangkutan mungkin memberi kesan kepada kumpulan itu sekiranya mereka perlu menghantar tempahan berkenaan ke beberapa lokasi projek Sunview," katanya. - DagangNews.com