Puncak Niaga dapat kontrak penggantian sistem paip bernilai RM82.86 juta di Johor | DagangNews Skip to main content

Puncak Niaga dapat kontrak penggantian sistem paip bernilai RM82.86 juta di Johor

oleh HUDA HASSAN

KUALA LUMPUR 29 Mac - Puncak Niaga Holdings Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Puncak Niaga Construction Sdn Bhd (PNCSB) dilantik sebagai subkontraktor utama bagi penggantian program sistem paip sedia ada di Johor.

 

Puncak Niaga berkata, PNCSB telah dilantik oleh Jalur Cahaya Sdn. Bhd. (JCSB) dan memeterai perjanjian subkontraktor bernilai RM82.86 untuk dua pakej penggantian bagi program tersebut di Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kota Tinggi dan Mersing.

 

Menurut Puncak Niaga, skop kerja dalam pakej itu meliputi pembekalan, penghantaran, pembinaan, pemasangan, penyiapan dan pemulihan kombinasi kerja-kerja berikut merangkumi penggantian paip utama sedia ada sepanjang 94,535 meter.

 

“Ia juga termasuk ujian dan pentauliahan saluran paip dan paip komunikasi baharu serta kerja-kerja penyambungan kepada rangkaian pengagihan bekalan air sedia ada,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

 

Projek itu telah bermula pada 1 Ogos, 2022 dan akan disiapkan pada 17 Januari 2024, dengan tempoh tanggungan kecacatan selama 12 bulan daripada pengeluaran sijil siap praktikal.

 

Kumpulan itu berkata, perjanjian subkontrak bersama JCSB itu dijangka menyumbang kepada perolehan sesaham, aset bersih sesaham atau penggearan untuk tahun kewangan semasa yang berakhir 31 Disember 2023 sehingga selesai kerja-kerja subkontrak.

 

Puncak Niaga merupakan penyedia penyelesaian air, air sisa dan alam sekitar bersepadu dan melibatkan diri dalam kejuruteraan dan pembinaan alam sekitar, perkhidmatan pengurusan konsesi dan kemudahan serta sektor perladangan. - DagangNews.com