Reservoir Link raih kontrak bekal struktur pelekap loji solar PV bernilai RM11.4 juta | DagangNews Skip to main content

Reservoir Link raih kontrak bekal struktur pelekap loji solar PV bernilai RM11.4 juta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jan - Reservoir Link Energy Berhad menerusi anak syarikatnya, Founder Energy Sdn. Bhd. menerima pesanan pembelian daripada Fabulous Sunview Sdn. Bhd, anak syarikat milik penuh Sunview Group Berhad bagi membekalkan struktur pelekap pembangunan loji solar fotovoltaik (PV) berskala besar di Malaysia.

 

Projek berkenaan adalah bernilai RM11.4 juta.

 

Menerusi skop kerja projek itu, Reservoir Link akan membekalkan sistem pelekap solar yang dijangka dihantar antara Januari hingga April 2023 ke lokasi projek.

 

Kontrak berkenaan tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham dan tidak akan ada sebarang kesan serta-merta ke atas aset bersih sesaham syarikat.

 

Kontrak itu, dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023.

 

Pengarah Eksekutifnya, Thien Chiet Chai berkata, pihaknya berjaya meraih kontrak baharu menerusi cabang tenaga boleh diperbaharuinya.

 

Beliau menyuarakan keyakinan bahawa kumpulan itu akan meraih lebih banyak dalam beberapa bulan akan datang memandangkan kehadiran industri merkea yang kukuh dalam ruang tenaga boleh diperbaharui.

 

"Kami juga akan secara strategik mencari peluang perniagaan yang lebih pelbagai dengan kami akan meluaskan lagi penawaran kami dalam tenaga boleh diperbaharui tidak terhad kepada solar.

 

"Kami terbuka untuk meneroka alternatif lain dalam tenaga boleh diperbaharui yang secara idealnya akan meletakkan kami dalam kedudukan optimum seiring dengan peningkatan penggunaannya," katanya. - DagangNews.com