Revenue gantung tugas dua Pengarah Eksekutif sementara tunggu hasil siasatan `aduan tertentu' | DagangNews Skip to main content

Revenue gantung tugas dua Pengarah Eksekutif sementara tunggu hasil siasatan `aduan tertentu'

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 5 Jan - Penyedia penyelesaian e-pembayaran terkemuka di Pasaran Utama, Revenue Group Berhad  mengumumkan Pengarah Eksekutif Ng Shih Chiow dan Ng Shih Fang telah digantung kerja berkuat kuasa serta-merta sementara menunggu siasatan lanjut berhubung `aduan tertentu' terhadap mereka.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Revenue, Datuk Eddie Ng Chee Siong berkata, berikutan maklumat yang telah dibawa kepada perhatian Lembaga Pengarah, maka keputusan telah dibuat untuk menggantung dua Pengarah Eksekutif serta-merta sementara menunggu siasatan.

 

“Walaupun peristiwa malang ini berlaku, Lembaga Pengarah ingin meyakinkan semua pihak berkepentingan bahawa urusan perniagaan syarikat berjalan seperti biasa kerana pasukan kepimpinan peringkat seterusnya, yang berkebolehan tinggi, mengendalikan operasi harian.

 

"Selain itu, kami juga sedang mengkaji untuk mengukuhkan lagi pengurusan dan kawalan dalaman kami. Lembaga Pengarah dan pengurusan kekal komited dalam mengembangkan perniagaan kami dan melaksanakan strategi pertumbuhan kami, yang sedang berkembang dengan baik,” katanya dalam kenyataan di sini.


 

Datuk Eddie Ng Chee Siong
Datuk Eddie Ng Chee Siong

 


Baru-baru ini, Revenue berjaya mendayakan kemudahan Easy Payment Plan (EPP) untuk aplikasi mudah alih platform beli-belah dalam talian terkemuka.

 

Di samping itu, Kumpulan juga mula bekerjasama dengan superapp serantau yang terkemuka untuk menjadikan kemudahan PayLater tersedia sebagai pilihan pembayaran dalam kedai untuk peniaganya.

 

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada rancangan untuk mengembangkan segmen pemprosesan transaksi elektronik ETP milik syarikat.

 

“Secara keseluruhannya, memberikan nilai yang luar biasa kepada pemegang kepentingan kami tetap menjadi keutamaan kami di samping menjaga kepentingan pada masa yang sama terutamanya untuk pemegang saham minoriti kami,” kata Eddie.

 

"Kumpulan akan membuat pengumuman lanjut jika terdapat sebarang perkembangan material berhubung perkara ini," kata syarikat itu lagi. - DagangNews.com