RHB Research unjur pendapatan Ranhill meningkat kesan kenaikan tarif air | DagangNews.com Skip to main content

RHB Research unjur pendapatan Ranhill meningkat kesan kenaikan tarif air

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Jan - Kenaikan tarif air oleh unit operasi air Ranhill Utilities Berhad adalah tepat pada masanya dan akan membantu mengurangkan tekanan ke atas pendapatan kumpulan yang disebabkan oleh pembayaran pajakan dan kos pengendalian yang lebih tinggi.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23), RHB Research berkata, kenaikan tarif boleh membawa masuk anggaran bil tambahan antara RM30 hingga RM50 juta.

 

Katanya, pendapatan pada FY23 dan FY24 boleh meningkat melebihi 15% daripada unjuran semasa.

 

Selain itu, pengendali air Ranhill SAJ Sdn. Bhd. juga boleh mengiktiraf perbezaan antara tarif lama dan baharu untuk pengguna bukan domestik dari Ogos hingga Disember 2022, yang boleh membawa hasil tambahan antara RM10 hingga RM20 juta.

 

"Dengan mengambil kira perbezaan antara tarif lama dan baharu untuk pengguna bukan domestik bagi tempoh Ogos hingga Disember 2022 akan diiktiraf untuk FY22, kami menjangkakan pendapatan setahun penuh adalah 10 hingga 20% lebih tinggi daripada anggaran semasa antara RM37 juta dan RM42 juta.

 

"Sebaliknya, sekiranya pengebilan tambahan untuk Ogos Disember 2022 ditempah pada FY23, pendapatan setahun penuh mungkin meningkat lebih daripada 20% daripada anggaran semasa," katanya dalam nota kajian, hari ini.

 

Ranhill SAJ, yang dimiliki 80% oleh Ranhill Utilities, mula melaksanakan tarif air baharu untuk pengguna bukan domestik mulai 1 Januari 2023, selaras dengan kenaikan tarif air yang diwartakan oleh kerajaan untuk pengguna bukan domestik dan kategori khas di Malaysia Barat dan Labuan, berkuat kuasa 1 Ogos 2022.

 

Menurut laman web korporatnya, terdapat kenaikan tarif air untuk pengguna bukan domestik daripada 20 hingga 30 sen bagi setiap meter padu, yang mewakili kenaikan 6% hingga 10%.

 

Ia berkata caj bulanan minimum untuk pengguna bukan domestik, segmen khas seperti rumah ibadat dan institusi kebajikan, dan penghantaran dinaikkan masing-masing 3%, 129% dan 40%.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 55 sen. - DagangNews.com