Rundingan TPG-Johor Corp jadikan KPJ syarikat persendirian terhenti?  | DagangNews Skip to main content

Rundingan TPG-Johor Corp jadikan KPJ syarikat persendirian terhenti? 

KUALA LUMPUR 6 Okt - Firma ekuiti persendirian Amerika Syarikat (AS), TPG Capital dan Johor Corp. telah menghentikan perbincangan mengenai pengambilalihan KPJ Healthcare Bhd. secara persendirian, demikian menurut laporan Bloomberg.

 

Dalam laporan yang memetik sumber itu, TPG dan cabang pelaburan Kerajaan Negeri Johor itu tidak mencapai persetujuan dengan syarat potensi pembelian pengendali hospital swasta terbesar di Malaysia termasuk penilaiannya. 

 

"Ini ditambah dengan ketidaktentuan pasaran yang turut mempengaruhi potensi pembelian (KPJ)," katanya dalam laporan itu di portal FMT hari ini.

 

Secara dasarnya, TPG dan Johor Corp. telah mempertimbangkan perjanjian untuk menjadikan KPJ sebagai syarikat persendirian pada tahun lalu dan membincangkan pembiayaan untuk transaksi itu dengan bank.

 

KPJ mempunyai nilai pasaran kira-kira RM3.2 bilion selepas sahamnya jatuh hampir 26% tahun ini, penurunan lebih besar daripada kejatuhan 9% yang dialami oleh penanda aras Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI.

 

Menurut laporan itu lagi, rundingan masih boleh dijalankan dengan pihak lain yang mungkin berminat dalam pengambilalihan KPJ.

 

Ketika dihubungi Bloomberg, Ketua Komunikasi Korporat Johor Corp., Hasnina Hafiz berkata, Johor Corp. komited untuk menambah baik prospek perniagaan KPJ, dan akan membuat sebarang kemas kini yang berkaitan mengikut keperluan.

 

Namun, wakil KPJ mahupun TPG enggan mengulas mengenai laporan tersebut.

 

Data Bloomberg menunjukkan Johor Corp memiliki hampir 36% pegangan dalam KPJ setakat April. Pemegang saham utama lain termasuk Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

 

Berdasarkan laman web KPJ, kumpulan perubatan itu ditubuhkan pada 1981 sebagai hospital swasta pakar pertama di Johor, dan memiliki lebih 28 hospital pakar yang terletak di seluruh Malaysia.

 

Penyedia penjagaan kesihatan itu juga mempunyai pelaburan di hospital di Indonesia, Thailand dan Bangladesh serta di pusat peranginan persaraan di Australia. - DagangNews.com