Sabah, Sarawak mungkin raih peruntukan terbesar di bawah rombakan Bajet 2023, kata RHB Research | DagangNews Skip to main content

Sabah, Sarawak mungkin raih peruntukan terbesar di bawah rombakan Bajet 2023, kata RHB Research

Pada 20 Januari lalu, kerajaan memberi kelulusan awal untuk peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion untuk menaik taraf infrastruktur sempadan Sabah dan Sarawak. - Gambar : Jeremy Bezanger/Unsplash
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Jan - Sabah, Sarawak dijangka meraih peruntukan terbesar di bawah semakan semula Bajet 2023, yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini, demikian menurut RHB Research. 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, Bajet 2023 akan dirombak daripada pelbagai aspek, dan akan diberi asas baharu selain memasukkan cadangan daripada versi sebelumnya.

 

Pada 7 Oktober lalu, kerajaan telah membentangkan bajet tersebut tetapi belum diluluskan Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) apabila Parlimen dibubarkan 10 Oktober 2022.

 

Menurut penganalisisnya, Adam Mohamed Rahim, rombakan Bajet 2023 kemungkinan akan menyaksikan penurunan atau peruntukan semula peruntukan pembangunan sebanyak RM95 bilion (yang diperuntukkan ketika pembentangan Bajet 2023, 7 Oktober lalu).

 

Katanya, blok Borneo mungkin akan mendapat peruntukan semula yang lebih tinggi memandangkan kehadiran besarnya dalam kerajaan perpaduan akan memberi implikasi positif dari segi perbelanjaan pembangunan yang disemak lebih tinggi untuk Sabah dan Sarawak dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM6.3 bilion dan RM5.4 bilion berbanding 2022 sebanyak RM5.2 bilion dan RM4.6 bilion. 

 

"Tambahan pula, setakat 20 Januari lalu, kerajaan telah memberi kelulusan awal untuk peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion untuk menaik taraf infrastruktur sempadan Sabah dan Sarawak.

 

"Namun begitu, kami percaya sebahagian besar peruntukan mungkin mengalir kepada kontraktor bersaiz lebih kecil yang tidak disenaraikan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

gambar hiasan

 

 

Kementerian Kewangan minggu lalu telah memberi kelulusan awal berjumlah RM1 bilion untuk memulakan kerja-kerja menaik taraf prasarana dan keupayaan kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Sarawak dan Sabah.

 

Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, kelulusan tersebut dibuat susulan perbincangan beliau dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo baru-baru ini berhubung perpindahan ibu kota negara itu ke Nusantara, Kalimantan, yang berkongsi sempadan dengan kedua-dua wilayah Malaysia itu.

 

Pada 2022, keseluruhan projek yang dianugerahkan bernilai RM134.5 juta manakala jumlah projek susut 16.5% tahun ke tahun kepada 11,163 berbanding 13,361 pada tahun sebelumnya. 

 

Nilai projek kerajaan pula adalah 15% tahun ke tahun lebih rendah pada RM37.4 juta untuk 2022 manakala nilai projek swasta adalah 9% tahun ke tahun lebih tinggi pada RM97.1 juta.

 

Ini menunjukkan pelancaran projek berkaitan kerajaan yang perlahan, kebiasaannya merangkumi kerja-kerja infrastruktur. 

 

Setakat 24 Januari 2023, sebanyak RM1.2 bilion projek swasta telah dianugerahkan tahun ini berbanding hanya RM200 juta projek kerajaan dalam tempoh yang sama.

 

 

gambar hiasan

 

 

Menurut Adam, mengambil kira risiko yang menyelubungi projek infrastruktur awam, syarikat kontraktor disaran memberi tumpuan kepada aliran kontrak membabitkan pusat data dan perindustrian. 

 

Ini kerana katanya, hartanah perindustrian dijangka merekodkan pertumbuhan lebih baik terutamanya dengan pembukaan semula China, yang akan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia. 

 

Beliau berkata, segmen hartanah industri kekal berdaya tahan selepas pandemik COVID-19, dengan urus niaga hartanah industri yang aktif dalam tempoh kumulatif sembilan bulan pertama 2022 (9M2022).

 

"Dalam tempoh itu, Malaysia menyaksikan hartanah perindustrian bernilai RM15.3 bilion - kilang, gudang, dan kemudahan pembuatan berbanding RM11.3 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, mewakili pertumbuhan 35% tahun ke tahun.

 

"Pembukaan semula China secara tidak langsung akan meningkatkan lagi FDI, terutamanya untuk sektor pembuatan. Tambahan pula, Malaysia adalah salah satu rakan eksport China," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, RHB Research mengulangi pandangan 'neutral' memandangkan masih wujud ketidaktentuan dalam sektor pembinaan. 

 

Firma itu memilih syarikat kontraktor yang kurang terdedah kepada projek berkaitan kerajaan terutamanya Sunway Construction Group Bhd. dan Kerjaya Prospek Group Bhd. - DagangNews.com