Saham Cosmos dibuka pada 50 sen di Pasaran ACE, raih premium 15 sen | DagangNews Skip to main content

Saham Cosmos dibuka pada 50 sen di Pasaran ACE, raih premium 15 sen

Datuk Chong Toh Wee (empat dari kiri) bersama pengurusan kanan syarikat pada pelancaran saham Cosmos di Pasaran ACE, 6 Oktober 2022.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 6 Okt - Cosmos Technology International Bhd membuat penampilan sulung kukuh di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 50 sen hari ini, meraih premium 15 sen atau 42.9% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 35 sen.

 

Pada loceng pembukaan, kaunter menyaksikan 7.98 juta saham bertukar tangan.

 

Sebelum ini, penyedia penyelesaian teknologi air bersepadu untuk industri air dan air sisa serta minyak dan gas telah disenaraikan di Pasaran LEAP antara 9 Mac 2020 dan 10 Nov 2021 sebelum melakukan penyahsenaraian secara sukarela untuk memudahkan pemindahannya ke Pasaran ACE.

 

Pengarah Urusan Datuk Chong Toh Wee berkata syarikat itu menjangka permintaan kukuh daripada pelanggan baharu dan sedia ada untuk produk logam rekaannya, yang digunakan dalam sektor minyak dan gas memandangkan harga minyak mentah kekal menarik.

 

"Tinjauan kekal sangat optimistik untuk perniagaan kami dalam beberapa tahun akan datang.

 

"Ini juga berikutan permintaan kukuh bagi meter aliran elektronik daripada industri air dan air sisa di Malaysia dengan pendigitalan dan automasi selanjutnya dalam memantau laluan air di negara kita," katanya kepada media selepas majlis penyenaraian di sini hari ini.

 

Daripada jumlah RM22.44 juta hasil daripada pelaksanaan penyenaraiannya, syarikat akan memperuntukkan RM10 juta untuk pemerolehan kilang berkembar terdiri daripada kemudahan pejabat dan gudang di Balakong, Selangor, dan RM3.5 juta untuk pembelian jentera baharu.

 

Chong berkata dana yang diperoleh akan membolehkan syarikat mempercepatkan usahanya dalam memperkemas dan menyatukan operasinya, mengautomasikan proses pengeluaran dan meningkatkan tahap kecekapan dan produktiviti.

 

“Dengan bangunan kilang baharu, kami akan menggabungkan operasi kami kerana kami mempunyai dua kilang berasingan di Semenyih dan Balakong dan kami mahu menyelaraskan pentadbiran dalaman kami dengan proses kewangan untuk meningkatkan kecekapan sambil mengurangkan masa dan kos buruh.

 

"Kami juga akan membeli jentera baharu untuk kilang kami termasuk mesin pemotong laser dan mesin pemotong paip tiub bersama mesin brek tekan dan mesin kimpalan robotik untuk meningkatkan kecekapan dan kapasiti pengeluaran kami," kata Chong. - DagangNews.com