SCIB tarik diri daripada projek pembinaan hospital pakar di Johor Bahru | DagangNews Skip to main content

SCIB tarik diri daripada projek pembinaan hospital pakar di Johor Bahru

KUALA LUMPUR 27 Jan – Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) mengeluarkan surat penarikan diri kepada Kencana Healthcare Sdn. Bhd. (KHSB) untuk cadangan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) membabitkan projek hospital pakar di Johor Bahru.

 

SCIB telah menerima surat anugerah daripada KHSB bertarikh 13 Ogos 2021 untuk kontrak EPCC yang melibatkan perolehan peralatan modal serta konsesi pemajakan untuk perolehan, pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan peralatan perubatan. 

 

Dalam hal ini, SCIB dan KHSB telah bersetuju secara bersama untuk syarikat menarik diri daripada projek itu.

 

Pengarah Urusan Kumpulan SCIB, Rosland Othman berkata, syarikat sedang menguatkuasakan haknya di bawah kontrak dan mengambil langkah yang perlu untuk melindungi kepentingan SCIB dalam mengurangkan risiko daripada kelewatan yang lama atau tidak pergerakan kemajuan projek.

 

Katanya, ia disebabkan oleh ketidakpastian dan ketidakupayaan untuk mendapatkan operator yang diperlukan bagi projek itu.  

 

"Selain itu, keputusan ini dibuat kerana menyemak dan mengemas kini rekod buku pesanan kami bagi menggambarkan keadaan semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sebagai sebahagian daripada penarikan diri daripada projek itu, KHSB akan membayar balik di bawah perjanjian penyelesaian, yuran komitmen berjumlah RM1.65 juta yang telah dibayar oleh SCIB dalam dua peringkat.  

 

Penarikan diri daripada kontrak tidak akan memberi kesan material ke atas penggearan, pendapatan sesaham dan aset bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023. - DagangNews.com