Kerajaan digesa segera selesai isu telur sebelum perayaan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 17 December 2022

KERAJAAN DIGESA SEGERA SELESAI ISU TELUR SEBELUM PERAYAAN

Sin Chew Jit Poh, Nanyang Siang Pao 14-16 Dis 2022

 

 

 

PADA 5 Disember yang lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Mohamad Sabu akan membawa berita gembira penurunan harga telur pada hari berikutnya.

 

Tetapi Mohamad Sabu langsung tidak menyebut mengenai penurunan harga sebaliknya hanya menyentuh mengenai perancangan mengimport telur.


 

telur

 


Perlu ditekankan, telur import bukan sahaja tidak segar malah mungkin harganya lebih mahal. Jelas sekali, respon menteri pertanian terhadap PM jauh tersasar.

 

Isu kekurangan telur sememangnya merupakan isu sara hidup yang sangat penting dan mesti diselesaikan secara menyeluruh. Apatah lagi apabila tibanya musim perayaan, kekurangan bekalan dan harga yang tinggi menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat. Kebiasaannya telur adalah makanan yang paling berpatutan di seluruh dunia, ia menjadi makanan harian terutamanya kepada golongan rakyat miskin.

 

Perang antara Rusia dan Ukraine telah menyebabkan kekurangan makanan di seluruh dunia. Pada masa ini, orang ramai mula menyedari bahawa kedua-dua negara ini adalah salah satu pengeksport utama bijirin dunia, termasuk makanan ternakan. Malaysia juga terpaksa mengimport makanan untuk ayam dan kenaikan harga ini telah menjejaskan kos.

 

Jika Malaysia menetapkan harga siling untuk telur, adakah penternak akan mendapat keuntungan?

 

Atas sebab tersebut, penternak ayam memilih untuk mengeksport telur ke Singapura kerana tiada had harga untuk eksport. Tetapi buat masa ini kerajaan masih tidak membenarkan eksport kecuali telur kebun.

 

Banyak analisis atau laporan yang menyebut bahawa orang ramai tidak dapat membeli telur berpunca daripada harga makanan ayam yang melambung tinggi dan kerajaan menetapkan harga siling. Meskipun kerajaan memberi subsidi telur, namun penternak masih tidak mendapat keuntungan dan mereka terpaksa mengurangkan pengeluaran ataupun terus berhenti.

 

Selain itu semasa tempoh wabak melanda negara, ramai pekerja asing meninggalkan Malaysia sehingga mengakibatkan kekurangan tenaga buruh dalam industri penternakan ayam dan menjejaskan pengeluaran telur.

 

Isu kekurangan telur mula berlaku semasa wabak kerana ladang-ladang kecil dan tradisional tidak mampu menanggung kos yang tinggi dan terpaksa ditutup. Ramai pengusaha berpendapat telur tidak sepatutnya disenaraikan sebagai produk terkawal. Apabila harga produk terkawal ini terlalu rendah dan ditambah pula dengan pemberian subsidi yang terlalu sedikit dan lambat, maka ladang-ladang tidak mampu lagi bertahan.


 

telur

 


Import telur penyelesaian sementara

Kebanyakan penternak ayam berpendapat berbanding mengimport telur, adalah lebih baik kerajaan meningkatkan subsidi kepada peladang kecil dan sederhana tempatan agar boleh meneruskan pengeluaran.

 

Malaysia merupakan negara kelima tertinggi dunia pengeksport telur. Jika kerajaan mengimport telur, adakah ia dapat memenuhi permintaan dan yang pasti harganya akan lebih mahal.

 

Langkah mengimport telur untuk menyelesaikan isu bekalan hanya untuk sementara waktu, tetapi jangka panjang adalah keperluan untuk menyokong penternak yang berpontesi agar dapat memberi keyakinan kepada mereka untuk terus menternak ayam dan membekalkan telur.

 

Menurut data daripada Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, ladang-ladang di negara kita mengeluarkan 30 juta telur sehari, bersamaan dengan kira-kira 900 juta telur sebulan. Punca kekurangan telur adalah kerana negara melaksanakan harga siling, di mana setiap telur adalah 35 sehingga 38 sen. Tetapi kos setiap biji telur telah melebihi 40 sen, jadi meskipun kerajaan memberi subsidi, ladang bukan sahaja tiada untung tetapi berdepan kerugian. Jadi ladang bersaiz kecil dan sederhana terpaksa menghentikan operasi kerana dana tidak mencukupi.

 

Difahamkan 50 peratus pengeluaran telur negara adalah daripada ladang kecil dan sederhana. Apabila kebanyakan mereka mengambil keputusan untuk menghentikan pengeluaran, kebergantungan kepada pengeluaran ladang bersaiz besar sahaja sudah pasti tidak dapat memenuhi permintaan pasaran.

 

Mekanisme subsidi yang berkesan    

Jika kerajaan mahu meneruskan subsidi telur, pertama sekali ia akan menambahkan beban kewangan negara. Keduanya, keluarga berpendapatan sederhana dan tinggi juga akan menikmati subsidi tersebut dan ia tidak selari dengan tujuan subsidi bersasar. 

 

Kabinet baru Anwar perlu mengukuhkan pelaksanaan dan meneliti semula mekanisme subsidi. Selain membenarkan harga telur terapung bebas, keluarga berpendapatan rendah juga boleh menikmati kupon membeli belah percuma agar dasar subsidi benar-benar boleh memberi manfaat kepada keluarga berpendapatan rendah.

 

Selain itu, dengan membuka pasaran dan membenarkan persaingan secara bebas, maka rakyat mungkin berpeluang untuk menikmati bekalan jangka panjang dan harga telur yang stabil. Ini juga akan membantu negara mengekalkan kedudukan sebagai lima negara pengeksport telur terbaik dunia untuk memperolehi pertukaran asing dan meningkatkan pendapatan negara.


 

telur

 


Rawat punca bukan gejala

Kesimpulannya, untuk menyelesaikan masalah kekurangan telur di Malaysia, kita mesti merawat punca dan bukannya gejala. Kelemahan terbesar kita ialah ekonomi yang lemah, hutang negara melebihi RM1 trilion, pelabur asing yang masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana tidak mempunyai keyakinan dengan negara. Akibatnya mata wang negara berterusan menyusut.

 

Walaupun kita mempunyai banyak industri maju, tetapi kebanyakan bahan mentah industri perlu diimport. Apabila nilai mata wang kita rendah, kos import pastinya tidak berbaloi.  - DagangNews.com

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pao 14-16 Disember 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags