Sektor kewangan masih berdaya tahan hadapi ketidaktentuan | DagangNews Skip to main content

Sektor kewangan masih berdaya tahan hadapi ketidaktentuan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 Okt - Firma-firma penyelidikan mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan memandangkan ia dilihat masih berdaya tahan meskipun berdepan dengan ketidaktentuan makroekonomi. 

 

Penganalisis Kenanga Research, Clement Chua berpendapat  ia berdasarkan kepada keyakinan Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap kekuatan dan daya tahan sistem kewangan untuk menghadapi halangan yang tidak dijangka dalam tempoh terdekat, sepertimana dilaporkan dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2022 yang dikeluarkan semalam.

 

Pada masa sama, menurutnya, laporan itu juga menunjukkan betapa pentingnya untuk membangunkan pelangan yang berkualiti dalam sistem perbankan berdasarkan kepada tahap celik kewangan yang meningkat kepada 59% pada 2021 berbanding 57.1% pada 2018.

 

"Dalam menangani kebimbangan mengenai keselamatan, BNM juga menyedari risiko operasi yang semakin meningkat (iaitu ralat pemprosesan, penipuan) dan berusaha untuk menyampaikan rangka kerja Perancangan Pemulihan dan Penyelesaian untuk membimbing institusi kewangan dengan lebih baik dalam melindungi intrastruktur mereka.

 

"Kami percaya kebimbangan yang semakin meningkat juga menghalang pemansuhan aset digital secara tempatan tetapi perkembangan yang menggalakkan dalam senario global mungkin mengubah pendiriannya," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Berdasarkan laporan itu, BNM mendapati prestasi kewangan bagi sektor perniagaan terus bertambah baik sejajar dengan kegiatan ekonomi yang disambung semula sepenuhnya dan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

 

Bagaimanapun, pemulihan kekal tidak sekata dan lebih perlahan dalam subsektor ekonomi tertentu dengan keseluruhan pinjaman terjejas perniagaan kekal rendah pada 1.1% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan.

 

Baca : BNM : Hutang isi rumah hampir menyamai paras sebelum pandemik pada 84.5% 

 

Nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pula hampir menyamai paras sebelum pandemik COVID-19 pada 84.5%.

 

Sementara itu, CGS-CIMB Research mengekalkan unjuran pertumbuhan pinjaman tahun ini antara 5% hingga 6% di sebalik impak kenaikan kadar dasar semalaman, inflasi dan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lemah pada suku keempat. 

 

Ini kerana firma itu mendapati pinjaman isi rumah pada Ogos meningkat kepada 6.5% berbanding 6.1% pada bulan sebelumnya terutama dipacu pinjaman pembelian kenderaan. 

 

Sementara itu, momentum untuk dua lagi segmen pinjaman isi rumah juga mengukuh sedikit, daripada 7.2% tahun ke tahun pada akhir Julai kepada 7.5% pada akhir Ogos membabitkan gadai janji kediaman manakala kad kredit pula meningkat kepada 16.3% pada Ogos berbanding 15.7% bulan sebelumnya.

 

Sebaliknya, pinjaman peribadi menurun sedikit kepada 3.6% pada Ogos berbanding 4% pada akhir Julai 2022.

 

Penganalisisnya, Winson Ng berkata, unjuran pertumbuhan pinjaman dikekalkan tahun ini meskipun pinjaman dalam sistem kewangan pada Ogos lalu mencatatkan pertumbuhan 6.8% memandangkan ia dijangka perlahan memasuki suku keempat 2022.

 

"Kami menjangkakan pertumbuhan KDNK pada suku keempat akan berkembang 4.3% berbanding 11.5% pada suku ketiga. 

 

"Jika unjuran pinjaman melebihi jangkaan kami, setiap kenaikan 1% (berbanding unjuran kami) akan meningkat keuntung bersih bank bagi 2022 kira-kira 0.8%," jelasnya. - DagangNews.com