S&P Global : Bank-bank di Malaysia melangkah ke 2023 dengan prospek berhati-hati | DagangNews Skip to main content

S&P Global : Bank-bank di Malaysia melangkah ke 2023 dengan prospek berhati-hati

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Dis - Bank mungkin terus berhati-hati di tengah-tengah kadar faedah yang lebih tinggi dan kemelesetan ekonomi global walaupun risiko kualiti aset kekal terkawal, demikian menurut S&P Global Ratings.

 

Namun, institusi perbankan di Malaysia memasuki tahun 2023 dalam kedudukan yang kukuh dengan pertumbuhan kredit yang lebih tinggi, margin lebih baik dan kos kredit lebih rendah telah meningkatkan pendapatan sebelum cukai untuk bank yang diberi penarafan.

 

Pemulihan ekonomi Malaysia yang kukuh dan meluas akan menyokong peminjam dan meningkatkan prestasi kewangan sektor perbankan pada 2023.

 

Malah, agensi penarafan itu meramalkan kos kredit bank-bank Malaysia kekal mendatar antara 30 hingga 40 mata asas (bps) pada tahun hadapan, lebih tinggi daripada purata sebelum pandemik pada 15 bps.

 

Penganalisis kredit S&P, Nikita Anand berkata, kos kredit bagi Malayan Banking Bhd. (Maybank) dan CIMB Bank Bhd. mungkin kekal tinggi berbanding pemain industri lain sekitar 40 hingga 50 bps, memandangkan pendedahan mereka yang besar kepada pasaran dengan risiko ekonomi yang lebih luas seperti Indonesia dan Thailand.

 

"Bank-bank Malaysia telah melaporkan kenaikan sederhana antara 14 hingga 15 bps dalam nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) sejak tamat tempoh moratorium awal tahun ini.

 

"Kebanyakan peningkatan ini berpunca daripada perusahaan kecil dan sederhana, korporat dan pinjaman runcit tidak bercagar," katanya dalam kenyataan seperti dilapor The Edge hari ini.

 

Didapati baki pinjaman yang telah disusun semula atau dijadualkan semula telah menurun kepada kira-kira 4% menjelang akhir Oktober 2022, daripada 5% kepada 6% pada akhir Julai lalu.

 

Tahap pinjaman yang disusun semula juga semakin berkurangan, apabila peminjam keluar daripada program bantuan pembayaran balik dan menyambung semula pembayaran hutang.

 

S&P berkata, jika aliran pembayaran balik daripada peminjam ini kekal kukuh, nisbah NPL sektor itu berkemungkinan kekal di bawah ramalan.

 

Menurutnya, pertumbuhan kredit dijangka perlahan kepada 5% pada 2023 daripada kira-kira 6% tahun ini.

 

"Kesan penuh kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 100 bps pada 2022 akan lebih jelas  dalam kadar pinjaman bank pada tahun depan," jelasnya.

 

Pada masa sama, ia menjangkakan kenaikan OPR sebanyak 50 bps lagi pada 2023.

 

Anand berkata, bank-bank di Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi cabaran pada 2023, di samping menambah bahawa permodalan sektor perbankan dan asas deposit runcit yang stabil kekal sebagai kekuatan kredit utama. - DagangNews.com