Suhaimi Sulaiman bakal diumum sebagai Ketua Pengarah RTM | DagangNews Skip to main content

Suhaimi Sulaiman bakal diumum sebagai Ketua Pengarah RTM

Oleh JOHARDY IBRAHIM

TERKINI 19 JANUARI 2023: Suhaimi Sulaiman sah dilantik sebagai ketua pengarah RTM

 

 

KUALA LUMPUR 6 Jan - Personaliti televisyen, Suhaimi Sulaiman bakal diumumkan sebagai Ketua Pengarah Penyiaran atau Radio Televisyen Malaysia, menurut sumber industri kepada DagangNews.com.

 

Suhaimi yang memiliki pengalaman besar lebih tiga dekad dalam dunia penyiaran negara, dijadualkan memulakan tugas minggu hadapan dan keputusan telah dipersetujui oleh Kementerian Komunikasi dan Digital.

 

"Pengurusan kanan RTM telah dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha kementerian," kata sumber industri lagi.

 

Jawatan Ketua Pengarah Penyiaran kini kosong setelah disandang sekejap oleh Dato' Che Roslan Che Daud, kata sumber industri.

 

Pelantikan Suhaimi ini merupakan kali keempat jawatan ketua pengarah penyiaran bukan daripada orang RTM, termasuk Dato' Che Roslan dari Kementerian Wilayah Persekutuan dan Datuk Ibrahim Yahaya yang merupakan bekas pengarang Berita Harian yang berkhidmat dari 2009 hingga 2011. 


 

tiger
           Datuk Ibrahim Yahaya

 


Suhaimi, 61, menamatkan khidmat di TV Sarawak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada Ogos 2022 dan sebelum itu, merupakan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

 

Beliau memulakan kerjaya dalam bidang penyiaran pada tahun 1990 di saluran televisyen Malaysia, TV3 sebagai seorang wartawan dan penolong penerbit, dan mula menjadi penyampai berita TV3 pada tahun 1993, sehingga menjadi salah satu daripada nama-nama terkemuka di Malaysia dalam bidang penyiaran.

 

Pada tahun 2007, beliau menyertai satu usaha permulaan untuk melancarkan saluran berita 24 jam pertama Malaysia, Astro Awani sehingga Mac 2015, Suhaimi meninggalkan stesen tersebut untuk memberi tumpuan kepada bidang Perundingan & Latihan Media. - DagangNews.com