Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 1 dibayar mulai 17 Januari 2023 - PM Anwar | DagangNews.com Skip to main content

Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 1 dibayar mulai 17 Januari 2023 - PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Jan - Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 kepada 8.7 juta golongan B40 bernilai RM1.67 bilion akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima yang berdaftar di dalam pangkalan data STR secara berperingkat mulai 17 Januari 2023.

 

Kategori untuk penerima isi rumah akan menerima sebanyak RM300, warga emas tiada pasangan (RM100) dan bujang (RM100).

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah memutuskan supaya STR Fasa 1 untuk golongan B40 diawalkan kepada Januari 2023 berbanding perancangan awal pada Mac 2023 bagi meringankan beban sara hidup rakyat.

 

Beliau berkata, penerima STR di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai akaun bank atau tiada akaun bank akan turut menerima pembayaran ini pada tarikh sama. 

 

"Penerima STR yang tiada akaun bank juga boleh membuat penunaian di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 17 Januari 2023," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan menekankan pendekatan rahmah dalam membela nasib rakyat susah terutamanya golongan rentan dan mudah terjejas. 

 

"Selaras dengan itu, kerajaan telah memperkenalkan konsep Payung Rahmah sebagai induk kepada inisiatif membantu golongan kurang berkemampuan dalam mendepani cabaran kos sara hidup. 

 

 

pm

 

 

"Maka, program bantuan tunai untuk B40 di bawah Kementerian Kewangan dijenamakan semula kepada STR dan akan terus ditambah baik," katanya. 

 

Semakan status pembayaran akan dibuka mulai 17 Januari 2023 dan maklumat lanjut berkaitan pembayaran ini boleh dirujuk soalan lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my. - DagangNews.com