TA Research unjur prestasi FY23 Ranhill Utilities lebih mantap pada FY23, antaranya dipacu kenaikan tarif air | DagangNews Skip to main content

TA Research unjur prestasi FY23 Ranhill Utilities lebih mantap pada FY23, antaranya dipacu kenaikan tarif air

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Jan - TA Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Ranhill Utilities Bhd. dengan harga sasaran dinaikkan kepada 59 sen daripada 55 sen sebelum ini memandangkan kumpulan dijangka merekodkan hasil yang mantap bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23).

 

Prestasi lebih baik ini dipacu terutamanya menerusi kenaikan tarif air bagi segmen bukan domestik dan kategori khas dan pemulihan daripada sumbangan pemaju serta peningkatan hasil Ranhill Worley.

 

Pada Julai lalu, Kerajaan Persekutuan telah menggazetkan tarif air baharu bagi pengguna bukan domestik dan kategori khas di Semenanjung Malaysia dan Labuan.

 

Kenaikan itu bersesuaian dengan purata kenaikan tarif sebanyak 25 sen/m3 (6%-10% kenaikan) untuk segmen bukan domestik dan kenaikan dalam caj minimum sbenayak 3% (bukan domestik), 40% (penghantaran), dan 128% (institusi kebajikan dan keagamaan).

 

"Pada pandangan kami, kenaikan tarif ini sudah lama tertunggak memandangkan pelarasan tarif sebelum ini telah dilaksanakan pada 2015. 

 

"Kenaikan ini memberi insentif kepada Ranhill SAJ (milik 80% Ranhill Utilities) untuk menjana pelaburan modal yang sihat bagi menaik taraf aset air.

 

"Akan datang, kami tidak menolak kemungkinan kenaikan tarif untuk segmen domestik. Ini memandangkan perbezaan yang lebih besar antara kadar komersial dan domestik selepas kenaikan tarif," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu menganggarkan kenaikan tarif itu akan memberi hasil tambahan sekitar RM48 juta (3% daripada hasil FY23) kepada Ranhill SAJ pada FY23 yang sebahagian besarnya akan mengalir kepada keuntungan sebelum cukai.

 

"Susulan itu, kami mengunjurkan pertambahan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM26 juta (meningkat 27% tahun ke tahun) berbanding asas pendapatan Ranhill SAJ bagi FY22," tambahnya. 

 

Mengenai sumbangan pemaju, TA Research berkata, Ranhill Utilities memberi panduan ia akan meningkat sehingga RM36 juta bagi FY23 didorong terutamanya projek hartanah yang tertangguh ketika pandemik COVID-19.

 

Bagi Ranhill Worley pula, katanya, ia menjangkakan peningkatan hasil daripada unit 51% milik kumpulan ini kepada hasil bagi FY23 dengan sebahagian besarnya didorong oleh kontrak besar yang diperoleh pada FY22.

 

Ini termasuklah kontrak AS$50 juta bagi perkhidmatan reka bentuk kejuruteraan untuk Petrobas P-82 FPSO dan reka bentuk kejuruteraan bagi Projek Kawalan Simpanan Karbon Kasawari bernilai RM50 juta.

 

"Merangkumi projek baharu ini, kami anggarkan nilai kontrak semasa Ranhill Worley berjumlah RM299 juta, yang memberi pendapatan kira-kira setahun kepada kumpulan," katanya.

 

Sementara itu, dari segi aliran tunai, firma itu percaya tahap tunai bagi FY23 juga mungkin meningkat disokong kenaikan tarif Ogos-Disember 2022 yang tertunggak dan geran Rancangan Malaysia Ke-12 yang besar daripada kerajaan berikutan pencapaian Hasil Bukan Air (NRW) pada 2021.

 

Setakat 10.48 pagi, harga sahamnya menokok 1 sen atau 1.98% kepada 51.5 sen dengan 741,800 saham diniagakan. - DagangNews.com