TADC kembali pulih, mula raih untung hasil kejayaan bangunkan `projek sakit' di Terengganu | DagangNews Skip to main content

TADC kembali pulih, mula raih untung hasil kejayaan bangunkan `projek sakit' di Terengganu

Pusat Pembenihan Ikan Marin di Limau Nipis, Setiu kini dibangunkan semula oleh TADC dengan skala yang lebih besar menggunakan dana daripada MoF dengan fokus kepada pembenihan ikan Kerapu Hibrid dan Siakap.
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 26 Jan - Prestasi Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC), anak syarikat kerajaan negeri yang sebelum ini dikategorikan sebagai 'amat tenat' akhirnya kembali pulih setelah lima tahun melaksanakan pelbagai strategi baharu untuk memperkasakan semula sektor pertanian, penternakan dan akuakultur di negeri itu.

 

Pengurus Besar TADC, Azhar @ Wahab Jusoh berkata, buat julung kalinya syarikat itu berjaya meraih pendapatan sebanyak RM1.7 juta dengan keuntungan sebanyak RM242,000 untuk tahun 2022 setelah berhempas-pulas membangunkan semula projek-projek sakit yang terbengkalai sebelum ini.

 

"Ia bukanlah satu tugas mudah namun kita yakin TADC kini kembali berada di landasan yang tepat untuk menjadi kumpulan pelaksana dalam meneraju pembangunan semula industri agro makanan yang merangkumi sektor pertanian, penternakan dan perikanan negara khususnya di Terengganu.

 

"Untuk tahun 2023 pula, TADC menyasarkan pendapatan syarikat sebanyak RM8 juta dengan keuntungan RM800,000 hasil prestasi memberangsangkan beberapa projek yang sedang kita laksanakan sekarang," katanya.


 

Azhar @ Wahab Jusoh
                                      Azhar @ Wahab Jusoh

 


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian Amanat Tahun Baru 2023 Kepada Warga Kerja TADC yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim di Kuala Terengganu, semalam.

 

Ketika ini, TADC sedang menguruskan tujuh projek bernilai RM30.44 juta dari geran dana Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Kementerian Kewangan (MoF).

 

Azhar berkata antara tujuh projek itu ialah Pusat Semaian Anak-Anak Pokok di tiga daerah iaitu Pak Kancil (Setiu), Beris Meraga (Kemaman) dan Bukit Parit (Marang) yang mendapat suntikan dana RM3.9 juta dari LAKSANA, MoF.

 

Menurutnya, pusat semaian itu memfokuskan kepada sembilan jenis tanaman iaitu Durian, Mangga, Rambutan, Nangka, Cempedak, Ciku, Duku, Jambu Batu dan Durian Belanda yang didaftarkan di bawah Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT).

 

"Selain itu, adalah projek pembangunan tanaman Napier seluas 400 ekar di Merang, Setiu yang mendapat suntikan dana (RM1.8 juta) serta Pusat Pengeluaran Benih Kerapu Hibrid Limau Nipis (RM8.865 juta).


 

TAD
TADC turut mengusahakan pengeluaran anak benih pokok buah-buahan bernilai tinggi seperti durian Musang King dan Duri Hitam di Pusat Semaian di Pak Kancil Setiu dan Meraga Beris di Kijal, Kemaman.

 

TAD
TADC menggunakan teknologi terkini iaitu kaedah semburan racun dan baja menggunakan dron di ladang tanaman Napier, Setiu.

 


"Pada tahun ini, TADC melalui projek tanaman Napier telah menandatangani kontrak untuk membekalkan kompos kepada syarikat McCormick Global Ingredients Sdn Bhd bagi proses pemulihan tanah projek penanaman lada hitam.

 

"Kontrak yang dipersetujui adalah selama 10 tahun dan sepanjang 2023, TADC akan membekalkan sebanyak empat ribu metrik kepada McCormick dan jumlahnya akan meningkat kepada 11 ribu metrik tan pada tahun 2024 sehingga 2031," katanya.

 

Projek lain yang mendapat sokongan dana MoF ialah projek penggandaan kambing tenusu baka Saanen iaitu sebanyak RM1.6 juta,  penternakan lembu semi fidlot (RM7.085 juta), kilang baja kompos di Cheneh, Kemaman bersama Ladang Rakyat Terengganu (RM5.645 juta) dan pusat pengumpulan hasil tani (RM1.445 juta).


 

TAD
Projek penggandaan kambing tenusu baka Saanen.

 


Mengulas lanjut, Azhar berkata setelah lima tahun memberi fokus terhadap pembangunan infrastruktur dan kemudahan di lapangan untuk tujuh projek itu, tahun 2023 adalah waktu untuk menuai hasilnya.

 

Tambahnya, TADC juga dalam perancangan bagi mewujudkan sektor pelancongan yang berkonsepkan pertanian di kawasan projek penternakan lembu semi fidlot iaitu di Kampung Pak Kancil, Setiu.

 

"Selain rumput Napier, projek yang turut memberi sumbangan terbesar terhadap perniagaan TADC ialah perkhidmatan membekalkan daging lembu tempatan D'Segor untuk memenuhi keperluan di pasaran tempatan.

 

"Jika pada tahun lepas, sebanyak 100 ekor lembu telah dijual, pada tahun ini jumlahnya dijangka akan terus meningkat lebih banyak terutama untuk jualan pada musim Raya Aidiladha untuk ibadah korban," katanya. - DagangNews.com