Terdapat peluang tipis PRU-15 diadakan tahun ini, paling awal mungkin Februari 2023  | DagangNews Skip to main content

Terdapat peluang tipis PRU-15 diadakan tahun ini, paling awal mungkin Februari 2023 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 Okt - Pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) tidak mungkin diadakan tahun ini meskipun Bajet 2023 dibentangkan lebih awal pada 7 Oktober berbanding tarikh sebelum ini, 28 Oktober dengan mengambil kira pelbagai faktor terutamanya musim tengkujuh, demikian menurut MIDF Research. 

 

Firma itu berkata, selepas pembentangan bajet, ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan setengah untuk perbahasan dan proses mendapatkan kelulusan. 

 

Ini ditambah lagi dengan musim tengkujuh pada akhir tahun yang dilihat tidak sesuai untuk diadakan pilihan raya. 

 

"Dalam hal ini, kami berpendapat, terdapat peluang tipis PRU-15 diadakan tahun ini, tetapi ia mungkin akan diadakan paling awal antara Februari hingga Mac 2023 (sebelum Ramadan).

 

"Setakat ini, tiada konsensus dalam kalangan parti politik sama ada pilihan raya akan diadakan tahun ini atau tahun hadapan.

 

"Walaupun lebih cenderung diadakan pada tahun depan, kami bagaimanapun menganggap terdapat kemungkinan yang munasabah bahawa negara mungkin menuju ke pilihan raya umum pada suku keempat ini," katanya dalam laporan prospek suku keempat 2022. 

 

 

MOF
Bajet 2023 akan dibentangkan Jumaat ini, lebih awal berbanding 28 Oktober sebelum ini.

 

 

Dengan jangkaan pilihan raya umum diadakan pada tahun hadapan, firma itu percaya ia akan mengurangkan impak terhadap proses pengagihan dan pelaksanaan Bajet 2023.

 

Pada Jumaat lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO  membuat ketetapan supaya PRU-15 diadakan pada tahun ini.

 

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, susulan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

 

Baca : MKT UMNO buat ketetapan PRU15 diadakan pada tahun ini

 

Dalam tempoh dua tahun lalu, MIDF Research berkata, kerajaan pusat secara berturut-turut tidak terlalu stabil (kedua-duanya merupakan gabungan) dengan majoriti tipis di Parlimen.

 

Oleh itu, negara sedang menghampiri pilihan raya umum akan datang di bawah situasi ketidakstabilan politik yang agak tinggi.

 

Malah, hasil daripada PRU-15 kemungkinan neutral (iaitu kerajaan majoriti tipis), atau positif (iaitu kerajaan majoriti yang lebih stabil) kepada negara.

 

Sementara itu, kemungkinan Parlimen digantung dapat dielakkan memandang Yang Di-Pertuan Agong sebagai penimbang tara terakhir mempunyai kuasa perlembagaan untuk melantik seorang Perdana Menteri daripada kalangan Ahli Parlimen yang boleh mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

 

Menurutnya, secara luaran, pilihan raya negeri di Melaka, Sarawak dan Johor menjurus kepada majoriti kerajaan yang lebih stabil selepas PRU-15.

 

Namun begitu, katanya, keadaan di peringkat nasional adalah lebih kompleks dan cair menurut beberapa pemerhati politik.

 

"Bagaimanapun, dalam apa jua cara, kami percaya kesan PRU-15 akan datang ke atas pasaran ekuiti adalah sama ada neutral atau positif," jelasnya.

 

 

Fed AS
Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah secara agresif sepanjang tahun ini.

 

 

Kelembapan pertumbuhan global
 

 

Firma itu berkata, selain pilihan raya umum, terdapat empat faktor lagi yang akan mempengaruhi pasaran tempatan pada suku keempat ini hingga 2023. 

 

Ini termasuklah risiko kemelesetan di Amerika Syarikat (AS) ekoran kenaikan kadar faedah yang agresif, krisis Rusia-Ukraine yang masih berpanjangan, situasi ekonomi di China dan ancaman wabak COVID-19.

 

Jelasnya, ekonomi dunia dijangka terus perlahan menjelang separuh kedua tahun depan memandangkan bank pusat utama dijangka menaikkan kadar faedah dalam beberapa bulan akan datang.

 

"Ini menjelaskan kebimbangan yang semakin meningkat tentang kelembapan global tahun depan, bukan kerana langkah berkaitan wabak tetapi untuk membendung risiko inflasi yang sangat tinggi," katanya.

 

Disebabkan ketidaktentuan luaran dan dasar monetari yang ketat dalam kebanyakan ekonomi, MIDF Research menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan menyederhana kepada 4.2% pada tahun depan.

 

Bagaimanapun, ia menyemak naik pertumbuhan tahun ini kepada 6.6% daripada 6% yang diunjurkan sebelum ini berikutan momentum pertumbuhan akan berterusan pada separuh kedua 2022. 

 

Menurutnya, pertumbuhan KDNK akan menjadi normal pada suku keempat 2022 berdasarkan aliran semasa data makro, dan percaya pertumbuhan akan mencapai kadar dua digit pada suku ketiga.

 

"Kami menjangkakan permintaan dalam negeri akan mencatatkan pertumbuhan kukuh di tengah-tengah peningkatan berterusan dalam pasaran buruh, tekanan inflasi yang stabil, dan dasar fiskal dan monetari yang menyokong.

 

"Melangkah ke suku keempat, kami percaya pertumbuhan KDNK akan menjadi normal, kerana kesan asas rendah akan hilang," jelasnya. 

 

 

gambar hiasan
Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 6.6% tahun ini sebelum menyederhana kepada 4.2% pada 2023.

 

 

Kenaikan OPR

 

Malah, firma itu juga percaya tumpuan semasa penetapan dasar monetari BNM adalah untuk memastikan pemulihan ekonomi Malaysia yang mampan. 

 

Dengan aliran inflasi teras yang meningkat dan permintaan domestik yang lebih kukuh daripada jangkaan, ia menjangkakan normalisasi dasar selanjutnya mungkin akan dilaksanakan dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada November ini (mesyuarat akhir tahun ini) dengan kenaikan 25 mata asas lagi menjadikan kadar dasar semalaman kepada 2.75%.

 

"Bagaimanapun, keputusan ini tertakluk kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga dan penambahbaikan dalam keadaan makroekonomi, terutama pemulihan berterusan dalam pasaran buruh dan permintaan domestik yang semakin meningkat.

 

"Dari perspektif jangka sederhana, normalisasi kadar dasar diperlukan untuk mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi masa depan seperti inflasi yang berterusan tinggi dan peningkatan dalam keberhutangan isi rumah," jelasnya.

 

MIDF Research menjangkakan OPR akan mencapai normalisasi penuh 3% pada 2023, bagi mewujudkan ruang monetari kepada BNM sekiranya berlaku kelembapan ekonomi global yang lebih teruk daripada jangkaan.  

 

"Dengan kenaikan lagi 25 mata asas dalam mesyuarat MPC pada Januari depan, ia akan menyaksikan kadar itu kembali ke paras 2019 iaitu 3%," tambahnya. - DagangNews.com