Tmax pasang sistem Tibero di UiTM, jimat kos sehingga 70% | DagangNews Skip to main content

Tmax pasang sistem Tibero di UiTM, jimat kos sehingga 70%

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jan - Tmax berjaya memasang sistem pengurusan pangkalan data Tibero di lokasi pelayan alternatif Universiti Teknologi MARA (UiTM), menurut kenyataan universiti itu.

 

Projek itu dipacu dan disokong oleh sistem pengurusan pangkalan data hubungan (RDBMS) iaitu Tibero dari Tmax yang amat serasi dengan pangkalan data utama di UiTM dan kedua-dua sistem pangkalan data berbeza diselaraskan secara masa nyata melalui teknologi replikasi Change Data Capture (CDC). 

 

Menurut Penolong Naib Canselor (Infostruktur) UiTM, Profesor Madya Ir. Dr Juliana Johari, pelaksanaan Tibero meningkatkan imej universiti dan mempercepatkan lagi transformasi digitalnya melalui peningkatan kualiti perkhidmatan IT yang disediakan.

 

“Migrasi ke Tibero daripada sistem pangkalan data utama universiti sedia ada telah berjaya dilaksanakan dan berjalan lancar dengan sokongan daripada Tmax dan rakan kongsi. 

 

"Kesemua data dapat diselaraskan dalam masa nyata di persekitaran pangkalan data yang berbeza,” katanya hari ini.

 

UiTM - Penolong Naib Canselor (Infostruktur) UiTM - Ir. Dr. Juliana Johari
Ir. Dr. Juliana Johari

 

Secara dasarnya, perisian Tibero memenuhi keperluan dan pelaksanaan pangkalan data itu  mengurangkan jumlah pelaburan kos UiTM sebanyak 70% daripada aspek kos lesen dan kos penyelenggaraan tanpa menjejaskan prestasi, produktiviti dan kebolehpercayaan.

 

Universiti itu juga dapat menggunakan sepenuhnya ciri-ciri yang terdapat dalam perisian tersebut tanpa sebarang kos tambahan di samping meningkatkan persekitaran perlindungan datanya pada kos yang minimum.

 

Tibero juga mempunyai keupayaan untuk menampung beban kerja yang kritikal dengan prestasi tinggi serta mempunyai ciri-ciri pangkalan data kelas terbaik seperti Tibero Active Cluster (TAC), Tibero Standby Cluster (TSC) dan Tibero Active Storage (TAS). 

 

Oleh itu, Tibero menjadi pangkalan data pilihan untuk projek ini kerana ia mudah dikemudi, menyediakan keserasian aplikasi tanpa pengubahsuaian yang besar dan multi-threaded untuk memaksimumkan prestasi.

 

Pengarah Urusan SEA-ANZ Tmax Singapore Pte Ltd - David Kim
David Kim

 

Sementara itu, Pengarah Urusan SEA-ANZ Tmax Singapore Pte Ltd, David Kim berkata, projek itu merupakan satu kejayaan untuk Tibero selaras dengan amalan terbaik dalam sektor pendidikan di seluruh negara.

 

“Pasaran ASEAN, termasuk Malaysia, adalah sangat penting untuk perniagaan Tmax di peringkat global. 

 

“Kami sangat gembira dapat memberikan penyelesaian hebat kepada UiTM yang membantu mereka menyelesaikan cabaran yang mereka hadapi dalam sistem IT,” tambahnya. - DagangNews.com