TNB akhiri FY22 dengan pendapatan lebih tinggi berjumlah RM50.87 bilion | DagangNews Skip to main content

TNB akhiri FY22 dengan pendapatan lebih tinggi berjumlah RM50.87 bilion

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Feb - Pendapatan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) meningkat 5.7% kepada RM50.87 bilion daripada RM48.12 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya didorong terutamanya jualan elektrik yang lebih tinggi dalam tempoh tersebut. 

 

Peningkatan dalam unit yang dijual untuk TNB sebahagian besarnya disumbangkan oleh pelanggan dari sektor komersial dan perindustrian, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) berada dalam kedudukan kurang pulih yang lebih tinggi sebanyak RM22.32 bilion berbanding RM4.51 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya terutamanya disebabkan harga bahan api yang lebih tinggi.

 

Pada tahun kewangan itu, perbelanjaan mengurus meningkat kepada RM64.61 bilion daripada RM44.52 bilion, meningkat 45.1% terutamanya disebabkan oleh kos penjanaan yang lebih tinggi.

 

Kerugian bersih daripada kemerosotan nilai instrumen kewangan berkurangan sebanyak RM838.8 juta atau 89.2% apabila trend kutipan bertambah baik pada tahun semasa.

 

Ini telah menghasilkan keuntungan operasi yang lebih tinggi sebanyak RM9.41 bilion, meningkat sebanyak 16.4% daripada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Di sebalik keuntungan operasi yang lebih tinggi, keuntungan selepas cukai bagi FY22 susut 8% kepada RM3.56 bilion daripada RM3.86 bilion disebabkan kos kewangan dan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi termasuk tambahan Cukai Makmur bagi FY22 sebanyak RM340.8 juta.

 

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022, pendapatan TNB meningkat 3.1% kepada RM12.92 bilion daripada RM12.53 bilion, sebaliknya keuntungan selepas cukai susut kepada RM807.9 juta daripada RM992.5 juta bagi tempoh sama tahun tahun sebelumnya.

 

Mengenai prospek kumpulan, TNB menjangkakan prestasi yang munasabah untuk 2023 dan akan terus berhati-hati terhadap cabaran akan datang termasuk harga bahan api yang tinggi dan inflasi.

 

"Semasa kumpulan meneruskan strategi pertumbuhannya, ia akan terus mengambil langkah berhemat dari segi keperluan operasi dan kewangannya untuk memastikan ia kekal berdaya tahan," jelasnya. - DagangNews.com