TNB bantu Majlis Daerah Rompin beralih kepada tenaga boleh diperbaharui | DagangNews Skip to main content

TNB bantu Majlis Daerah Rompin beralih kepada tenaga boleh diperbaharui

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Okt - Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikatnya, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) menyediakan penyelesaian tenaga pintar kepada Majlis Daerah Rompin (MDR) melalui sumber solar, sekaligus menyumbang kepada peralihan tenaga negara.

 

Baru-baru ini, kedua-dua pihak memeterai Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (Supply Agreement For Renewable Energy, SARE) bagi membolehkan GSPARX memasang sistem solar fotovoltaik (PV) berkapasiti 88.32kWP di atas bumbung bangunan Pentadbiran MDR tanpa kos.

 

Apabila pemasangan panel solar tersebut siap pada bulan Mac 2023, MDR dijangka dapat menikmati penjimatan bil elektrik hampir RM631,000 dalam tempoh 20 tahun kontrak perjanjian dan menikmati penjimatan sebanyak RM1.03 juta dalam tempoh 25 tahun.

 

Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, kerjasama itu adalah selaras dengan komitmen TNB dalam menyokong agenda kerajaan untuk mencapai pengurangan intensiti pelepasan karbon dengan sasaran karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.

 

Katanya, komitmen itu dipacu oleh langkah-langkah mengurangkan 35% intensiti pelepasan karbon dan pengurangan 50% kapasiti penjanaan tenaga arang batu menjelang 2035, selain memperkasakan penjanaan Tenaga Boleh Baharu (TBB).

 

"Menerusi projek kerjasama bersama GSPARX, TNB melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap alam sekitar, selaras dengan aspirasi TNB untuk menjadi pembekal terunggul solusi tenaga di samping menjadi sebahagian daripada penyelesaian perubahan iklim,” katanya ketika menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian SARE di Rompin pada 16 September 2022.

 

Pemasangan panel solar di bangunan MDR itu mampu mengurangkan kadar tahunan 83.9 tan metrik karbon dioksida. Ini adalah bersamaan dengan pemerangkapan gas rumah hijau daripada 1,387 batang pokok dalam tempoh 10 tahun. 

 

 

tnb
Dokumen perjanjian ditandatangani Rozianis Mohd Noor (tengah) mewakili TNB, Elmie Fairul Mashuri (kanan) dan Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek. Ia disaksikan Datuk Abd Rahim Muda (tiga, kiri), Datuk Seri Hasan Arifin (dua, kiri) dan Datuk Baderul Sham Saad (dua, kanan).

 

 

Di pihak TNB, SARE ditandatangani Ketua Retail Negeri (Pahang), Rozianis Mohd Noor dan Pengarah Urusan GSPARX, Elmie Fairul Mashuri bagi pihak GSPARX sebagai Pelabur PV Solar Berdaftar, manakala MDR oleh Yang Dipertuanya, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek.

 

Ia disaksikan oleh Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Datuk Abd Rahim Muda dan Pengurus Besar TNB negeri, Datuk Baderul Sham Saad.

 

Ahmad Nasim berkata, pelaksanaan perjanjian itu menyumbang kepada pembangunan dan pengiktirafan MDR sebagai sebuah pihak berkuasa tempatan yang mampan, serta menjadikan daerah Rompin sebagai Bandar Berdaya Huni Tahap Tertinggi pada tahun-tahun mendatang di bawah Program Indeks Daya Huni Malaysia (iDAM).

 

"Kami amat mengalu-alukan program persefahaman sebegini khususnya menyokong kepada langkah penjimatan kos pengurusan selain menjadi perintis kepada penerokaan sumber boleh diperbaharui oleh pihak MDR.

 

"Ia memberi kelebihan kepada pihak majlis daripada segi tiada keperluan bayaran pendahuluan, penjimatan bayaran bil elektrik bulanan atau tahunan, pakej perkhidmatan melibatkan pemantauan dan penyelenggaraan berjadual pihak GSPARX serta sistem akan dimiliki MDR selepas tempoh kontrak berakhir," katanya.

 

Sebelum ini, GSPARX telah memeterai SARE dengan beberapa pihak berkuasa tempatan, termasuk Majlis Bandaraya Seberang Perai (MPSP), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ). 

 

Di bawah skim panel solar fotovoltaik, Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan kegunaan kendiri (self-consumption; SELCO) yang dilaksanakan kerajaan, kira-kira 300 pelanggan komersil, industri dan agensi kerajaan telah memeterai perjanjian dengan GSPARX menerusi SARE dan pembelian terus untuk menjana kira-kira 145MWp tenaga hijau. - DagangNews.com