TUDM-Tentera Udara India jalin kerjasama, pengetahuan penyelenggaraan pesawat Sukhoi SU-30MKM  | DagangNews Skip to main content

TUDM-Tentera Udara India jalin kerjasama, pengetahuan penyelenggaraan pesawat Sukhoi SU-30MKM 

Pesawat Sukhoi SU-30MKI IAF melakukan pengisian minyak di udara semasa dalam penerbangan menyertai Eks Udara Shakti 2022.
Fokus Berita oleh ZAKI SALLEH

KERJASAMA pertahanan Malaysia-India membabitkan tentera udara terus diperkukuhkan apabila delegasi Tentera Udara India (IAF) telah melakukan kunjungan ke Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu.

 

Kunjungan ini sempena Program Dua Hala Subject Matter Expert Exchange (SMEE) berhubung perkongsian kemahiran.

 

Delegasi IAF ini diketuai Group Captain Davendra Singh Shekawat bersama dua pegawai iaitu Wing Commander (Wg Cmdr) Nakapham Samarendo Singh dan Wg Cmdr Nitya Nand Pandey.  

 

Kehadiran delegasi ini selama lima hari bermula 31 Januari lalu sebagai program timbal balas sepertimana yang dipersetujui dalam Mesyuarat Air Staf Talks antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan IAF.  

 

 

sukhoi
Group Captain Davendra Singh Shekawat (kanan) diberi penerangan tentang pesawat Sukhoi TUDM.

 

 

Sebelum ini, delegasi TUDM telah melaksanakan lawatan SMEE ke IAF Pune, India pada 29 November hingga 2 Disember tahun lalu.

 

Terdahulu, program SMEE ini dimulakan dengan sesi lawatan bersama Pemangku Komander Pangkalan dan juga Pegawai Memerintah Skuadron No.12.  

 

Pangkalan Udara Gong Kedak merupakan 'rumah' skuadron ini yang mengoperasikan pesawat tempur superioriti Sukhoi  Su-30MKM.

 

Seterusnya, perbincangan SMEE diadakan berkenaan penyelenggaraan pesawat Sukhoi Su-30MKM.

 

 

sukhoi
Lawatan SMEE menjadi platform perkongsian pengetahuan dalam penyelengaraan serta pengoperasian pesawat Sukhoi kedua-dua negara.

 

 

Delegasi IAF turut dibawa melawat fasiliti barisan kedua bagi penyelenggaraan komponen pesawat Su-30MKM di Cawangan Kejuruteraan, Hangar STC dan MATRA 3.

 

Tujuan lawatan SMEE ini sebagai platform untuk perkongsian pengetahuan dan pengalaman dalam penyelengaraan serta pengoperasian pesawat sama yang dimiliki kedua-dua negara.

 

Pada Ogos tahun lalu, TUDM dan IAF memperkukuh kerjasama sedia ada apabila terlibat dalam latihan udara, Eksesais Udara Shakti 2022.

 

Eksesais ini telah melibatkan pesawat Sukhoi SU-30 kedua-dua negara dengan IAF menghantar empat versi MKI manakala empat versi MKM bagi TUDM.

 

Turut terlibat ialah dua buah pesawat pengangkut C17 dari IAF dan sebuah pesawat Airbus A400M TUDM. 

 

IAF mengoperasikan kira-kira 262 buah pesawat Sukhoi SU-30MKI yang merupakan tunjang dalam pertahanan udara negara berkenaan.

 

Jumlah ini juga menjadikan India sebagai pengguna terbesar pesawat Sukhoi SU-30 di luar Rusia yang dibeli bermula tahun 1996.

 

 

sukhoi
Delegasi IAF bersama pegawai TUDM semasa melawat fasiliti di Pangkalan Udara Gong Kedak.

 

 

Hanya 50 buah pesawat Sukhoi ini diterima dari Rusia manakala yang lain dibina di India secara kebenaran berlesen oleh firma Hindustan Aeronautics Limited (HAL).

 

Perolehan pesawat Sukhoi SU-30MKM sebanyak 18 buah dibuat kerajaan Malaysia pada 2003 yang menyaksikan TUDM menempa nama sebagai antara angkatan udara yang digeruni di rantau ini.

 

Setelah 17 tahun digunakan, TUDM sedang menjalani program pemanjangan jangka hayat iaitu Service Life Extension Programme (SLEP) dan program Mid-Life Upgrade (MLU) secara berperingkat-peringkat.

 

Program ini telah dimulakan pada 2019 melibatkan sebuah pesawat pertama diikuti pesawat seterusnya.

 

Ini untuk memastikan fleet pesawat-pesawat Sukhoi SU-30MKM kekal beroperasi sehingga tahun 2040.

 

 

sukhoi
Pesawat jet pejuang Sukhoi SU-30MKM milik TUDM

 

 

Program ini telah dilakukan oleh syarikat tempatan, Aerospace Technology Systems Corp (ATSC) yang ditubuhkan kerajaan pada 1994 khusus bagi selenggaraan pesawat buatan Rusia.

 

India yang bersaing untuk merebut perolehan pesawat tempur ringan dwifungsi (LCA) TUDM menerusi 18 buah pesawat Tejas turut menawarkan pakej senggaraan Sukhoi SU-30MKM.

 

Sebagai pembina pesawat Sukhoi, kemampuan teknologi yang dimiliki India lebih tinggi apabila negara itu sedang merangka program meningkat upaya fleet sedia ada.

 

Dijangka sebanyak 150 pesawat Sukhoi SU-30MKI ini akan dinaik taraf untuk menjadi versi Super Sukhoi.

 

 

Sukhoi SU-30MKM

 

 

Program menaik taraf ini yang dijangka menelan kos AS$4 bilion dapat dimanfaatkan oleh lain-lain negara pengguna apabila India menawarkan kemahiran untuk melaksanakan perkara serupa.

 

Pengguna lain pesawat Sukhoi SU-30 di rantau ini ialah Vietnam dengan 35 buah pesawat, Indonesia (11) dan terbaru Mynmar yang memperoleh enam pesawat Sukhoi SU-30SM. - DagangNews.com