'Unboxing' jadi trend paling popular dalam kalangan generasi muda yang menyertai Shopee Live | DagangNews Skip to main content

'Unboxing' jadi trend paling popular dalam kalangan generasi muda yang menyertai Shopee Live

Kaji selidik Shopee mendapati 82% daripada pempengaruh teruja untuk kekal berdaya tahan dan relevan dalam e-dagang.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Jan - Dua daripada tiga pempengaruh di Malaysia berhasrat untuk mengukuhkan bidang itu sebagai sebahagian daripada personaliti mereka dan berhubung dengan pembeli berasaskan nilai melalui ketelusan, lapor kaji selidik Shopee.

 

Kajian itu juga mendapati 82% daripada pempengaruh teruja untuk kekal berdaya tahan dan relevan dalam e-dagang.

 

Menurut kajian bertajuk 'Past the Starting Line: Adapting to Malaysia’s Digital Consumers in 2023', pembeli daripada golongan muda cenderung untuk meminta lebih banyak maklumat untuk berbelanja dengan bijak.

 

Ini mendorong pempengaruh untuk menghasilkan kandungan tulen dan sahih melalui format langsung agar lebih berhubung dengan pengikut masing-masing.

 

Malah, kajian itu juga mendapati 6 daripada 10 pempengaruh menggunakan Shopee Live untuk mencapai matlamat ini dengan mengutamakan kandungan video yang bersifat peribadi dan menjadi pakar dalam mempromosikan produk melalui ulasan, 'unboxing' (membuka bungkusan), petua dan helah serta demo secara langsung.

 

 

shopee
Aksi di belakang tabir semasa sesi Shopee Live di studio.

 

 

'Unboxing' dilaporkan sebagai trend paling popular dalam kalangan generasi muda yang turut serta dalam perbincangan dengan pempengaruh Shopee ketika penstriman langsung.

 

Ketua Kempen Pemasaran Shopee Malaysia, Kenneth Soh berasa teruja melihat maklum balas dan perkembangan positif daripada komuniti pempengaruh syarikat tersebut e-dagang itu.

 

“Mereka akan menjadi pendorong utama dalam membentuk masa depan ekonomi digital dan kami gembira melihat mereka mengorak langkah ke hadapan untuk meluaskan pengetahuan dan kemahiran melalui Shopee Masterclasses.

 

“Kami komited untuk membantu pempengaruh kami memupuk hubungan yang lebih bermakna dan setia dalam talian melalui Shopee Affiliate Programme, Shopee Influencer Marketing Programme dan Shopee Live," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

shopee
Sebahagian daripada pempengaruh yang menghadiri program Shopee House baru-baru ini.

 

 

Malah, kaji selidik itu juga mendapati 6 daripada 10 pempengaruh dilaporkan berhasrat untuk meluaskan pengetahuan mereka tentang pemasaran dan strategi perniagaan memandangkan Shopee menawarkan pelbagai program khusus untuk pencipta kandungan.

 

Antaranya, Shopee House yang membolehkan pempengaruh berkumpul di platform itu dua kali setiap bulan untuk berkongsi, berhubung dan mengenali satu sama lain.

 

Sementara itu, Shopee Masterclass pula adalah program maya di mana mereka mengadakan sesi perkongsian pengetahuan dengan pempengaruh terkenal seperti SoImJenn, Safuan, Ceddy dan Datuk Calvin.

 

Syarikat e-dagang ini juga berhasrat untuk terus mendukung komuniti pempengaruh melalui pelbagai program sedia ada agar mereka berpeluang meningkatkan kemahiran dan pendapatan. - DagangNews.com