KUALA LUMPUR 8 Nov - Cabang hiliran Sime Darby Plantation Bhd., Sime Darby Oils (SDO) melabur lebih AS$150 juta (RM711.18 juta) untuk membina kilang penapisan minyak dan lemak khusus baharu di Sumatera, Indonesia yang dijangka beroperasi pada 2024.
Loji penapisan itu akan dibina di atas tapak seluas 16 hektar, dengan kapasiti pengeluaran tahunan lebih daripada 450,000 tan metrik bagi produk berasaskan sawit dan laurik.
Pada kapasiti penuh, operasi penapisan itu akan mewujudkan lebih daripada 200 pekerjaan di dalam negara dan kesan limpahan positif yang lain.
Pengarah Urusan SDO, Mohd. Haris Mohd. Arshad berkata, pelaburan terbaharu itu mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat kepada Indonesia dan turut menyumbang kepada pembangunan wilayah Sumatera Utara.
Katanya, loji penapisan Sei Mangkei adalah pelaburan terbesar SDO di Indonesia setakat ini dan akan menjadi pelaburan penapisan kedua di negara itu selepas loji penapisan Pulau Laut di Kalimantan.
"Ia akan menggunakan teknologi bertaraf dunia untuk menghasilkan minyak dan lemak khusus serta lebih banyak produk nilai tambah untuk pasaran eksport.
"Dengan kerumitan pengeluaran minyak khusus, ditambah pula dengan automasi dan pendigitalan yang dipasang di dalam loji penapisan ini, kami membuka pintu kepada tenaga kerja mahir muda dan akan datang di Indonesia termasuk jurutera, juruteknik, perancang logistik, eksekutif kewangan dan pekerja bernilai tambah tinggi yang lain, khususnya di wilayah Sumatera Utara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Loji penapisan terbaru SDO tersebut ialah aset hiliran keempat syarikat di Indonesia. Selain loji penapisan utamanya di Pulau Laut, yang mula beroperasi pada 2014, ia juga mengendalikan dua loji penghancur isirung sawit (kernel) di Rantau, Kalimantan Selatan dan di Pemantang, Kalimantan Tengah.
Kilang itu merupakan kemudahan pertama SDO di wilayah Sumatera, dijangka memanfaatkan pengeluaran minyak sawit mentah sedia ada di rantau ini melalui Minamas Plantation, anak syarikat Sime Darby Plantation di Indonesia.
Menurut Mohd. Haris, pembinaan loji penapisan itu juga akan menawarkan peluang untuk perniagaan sedia ada dan baharu di rantau ini dan syarikat berharap dapat menjadi pemangkin dalam memacu pertumbuhan ekonomi tempatan dan mampan.
"Sei Mangkei dianggap sebagai lokasi yang strategik kerana akses masuk dan keluar yang baik serta berdekatan dengan pelabuhan pukal dan kontena.
"Wilayah ini juga antara Zon Ekonomi Khas yang ditubuhkan oleh kerajaan Indonesia yang melaksanakan prinsip pertumbuhan hijau untuk menarik lebih banyak peluang pelaburan hijau ke dalam negara," jelasnya. - DagangNews.com