Untung bersih Unisem bagi 3QFY22 melonjak 53.3% kepada RM61.73 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Unisem bagi 3QFY22 melonjak 53.3% kepada RM61.73 juta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Okt - Untung bersih Unisem (M) Berhad untuk suku ketiga berakhir 30 September 2022 (3QFY22) melonjak 53.3% kepada RM61.73 juta berbanding RM40.27 juta bagi suku sama tahun lalu.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, pendapatan bagi suku tersebut meningkat kepada RM439.69 juta daripada RM366.36 juta pada tahun sebelumnya.

 

"Pendapatan dan peningkatan hasil firma itu disumbangkan purata harga jualan yang lebih baik disokong peningkatan kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS)/ ringgit dan dolar AS/Yuan China," katanya.

 

Pendapatan sesaham untuk suku tersebut meningkat kepada 3.83 sen berbanding 2.5 sen sebelum ini.

 

Unisem mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak dua sen sesaham yang akan dibayar pada 23 November 2022.

 

Bagi sembilan bulan terkumpul berakhir 30 September 2022, keuntungan bersih Unisem melonjak kepada RM318.28 juta daripada RM140.32 juta dengan hasil RM1.33 bilion berbanding RM1.14 juta.

 

Unisem juga menjangkakan prospek pendapatannya pada suku akan datang adalah lebih baik.

 

Syarikat juga akan berusaha mengehadkan risiko pertukaran mata wang asing dengan melindungi nilai antara penghutangnya dan sebahagian daripada pemiutang/pinjaman bank dan juga mungkin memasuki kontrak pertukaran mata wang. - DagangNews.com