Untung bersih Yinson bagi suku ketiga meningkat kepada RM155 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Yinson bagi suku ketiga meningkat kepada RM155 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Dis - Keuntungan bersih Yinson Holdings Bhd. bagi suku ketiga berakhir 31 Oktober 2022 meningkat 58.2% kepada RM155 juta berbanding RM98 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat kepada RM1.73 bilion daripada RM820 juta didorong terutamanya permulaan aktiviti perniagaan EPCIC untuk FPSO Maria Quitéria dan FPSO Atlanta, mneurutnya dalam kenyataan hari ini.

 

Ia secara tidak langsung mengimbangi sebahagian kos operasi dan pembiayaan yang lebih tinggi dalam tempoh kewangan semasa.

 

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, untung bersihnya meningkat kepada RM418 juta daripada RM336 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan turut melonjak 52% kepada RM4.36 bilion daripada RM2.87 bilion.

 

Dalam tempoh kewangan semasa, aktiviti perniagaan EPCIC untuk FPSO Maria Quitéria dan FPSO Atlanta telah dimulakan selepas pelaksanaan kontrak firma dengan Petrobras masing-masing pada 7 Februari lalu dan Enauta Energia S.A. pada 21 Februari 2022. 

 

Sumbangan yang lebih tinggi daripada aktiviti perniagaan EPCIC yang berkaitan dengan FPSO Maria Quitéria dan FPSO Atlanta sebahagiannya diimbangi oleh sumbangan yang lebih rendah daripada FPSO Anna Nery.

 

Mengulas mengenai prestasi kumpulan, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Han Weng berkata, prestasi Yinson yang stabil sepanjang ketidaktentuan beberapa tahun kebelakangan ini adalah bukti model perniagaan kumpulan yang kukuh dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan. 

 

Katanya, pada Oktober lalu, Yinson memperoleh pembiayaan mini bernilai AS$720 juta untuk pembinaan berterusan FPSO Maria Quitéria, dengan ING, Maybank, Natixis, Standard Chartered Bank dan United Overseas Bank sebagai pengurus utama, penaja jamin dan 'bookrunners' manakala dengan HSBC dan J.P. Morgan sebagai pengurus utama dimandatkan. 

 

"Kejayaan perjanjian ini adalah bukti keyakinan komuniti pelaburan terhadap kemantapan strategi perniagaan Yinson dan keupayaan kami untuk menunaikan janji," katanya.

 

Pada masa sama, menurutnya, permintaan yang semakin meningkat di seluruh dunia untuk kontraktor dan pengendali FPSO terus memberi kesan positif kepada aktiviti perniagaan Yinson Production. - DagangNews.com