UPM alu-alukan 3,553 pelajar baharu hari pertama pendaftaran | DagangNews Skip to main content

UPM alu-alukan 3,553 pelajar baharu hari pertama pendaftaran

Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman menghulur tangan membantu mengangkat barang seorang pelajar baharu yang mendaftar di UPM pada 5 Oktober 2022.

SERDANG 5 Okt – Seramai 3,553 pelajar baharu program Bacelor yang terdiri daripada 1,116 pelajar lelaki dan 2,437 pelajar wanita mendaftar di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi sesi akademik 2022/2023 pada hari ini dan esok.

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata daripada jumlah tersebut seramai 84 pelajar bacelor akan mendaftar di kampus UPM Bintulu, Sarawak.

 

Katanya, UPM turut menerima 80 atlet sukan negara yang pernah menyertai Sukan SEA dan SUKMA, majoritinya ialah atlet hoki, ragbi dan olahraga.

 

"Antara atlet yang mendaftar ialah Kirandeep Kaur yang pernah menjadi johan dalam World Hockey Series Singapore 2018, tempat ketiga Kelayakan Olimpik di Ireland 2019 dan menyertai Piala Dunia Hoki Wanita Remaja pada bulan April 2022.

 

"Beliau akan mendaftar dalam program Doktor Perubatan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan," katanya pada sidang media sempena Minggu Perkasa Putra UPM Sesi 2022/2023 di sini hari ini.


 

UPM
Prof Dr Mohd Roslan berbual dengan bapa yang menghantar anaknya mendaftar sebagai pelajar di UPM pada 5 Oktober 2022.


 

UPM

 


Prof Dr Mohd Roslan berkata, UPM turut memperkenalkan program baharu iaitu Bacelor Teknologi Pertanian Pintar dengan Kepujian di Fakulti Pertanian yang ditawarkan kepada 20 pelajar.

 

Pada sesi kemasukan kali ini, UPM terlibat dalam laluan khas program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

 

“Program ini ditawarkan kepada 10 pelajar daripada keluarga B40 yang cemerlang dan merupakan anak pertama dalam keluarga mereka yang berjaya memasuki universiti di peringkat ijazah sarjana muda.


 

UPM

 

UPM

 


“UPM akan menyediakan tajaan dan program mentoring untuk memastikan 10 pelajar yang terpilih berjaya dalam pengajian dengan cemerlang dan akan mendapatkan pekerjaan kepada mereka,” katanya. - DagangNews.com