UPM bekerjasama dengan dua universiti Indonesia pelajari budaya, pendidikan | DagangNews Skip to main content

UPM bekerjasama dengan dua universiti Indonesia pelajari budaya, pendidikan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Feb - Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KMB) Universiti Putra Malaysia (UPM) memeterai persefahaman kebudayaan dan pendidikan dengan Universitas Padjajaran (UNPAD) Bandung dan Universitas Gadjah Mada (UGM), Yogyakarta, Indonesia baru-baru ini.

 

Pengetua Kolej KMB, Prof Madya Dr Jasronita Jasni berkata, usaha sama antarabangsa itu memberi pendedahan pelajar antara universiti untuk mempelajari aspek budaya, ekonomi, pendidikan dan perubatan.

 

”Program ini akan menjadikan pelajar UPM lebih terbuka dalam memberikan pendapat, berpeluang untuk melakukan pelbagai aktiviti kemanusiaan serta mempelajari budaya dan pendidikan di Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Jasronita, kerjasama tersebut sempena program mobiliti KMB Global Outreach, bagi mewujudkan jaringan ampuh bersama pelajar Indonesia serta berkongsi pengetahuan akademik, kesukarelawanan, aktiviti kebudayaan dan pembelajaran sepanjang hayat.

 

Katanya, lawatan ke fakulti perubatan dan sains sosial di UGM dan UNPAD serta program pertukaran budaya turut dijalankan. 

 

"Program ini juga adalah rentetan memorandum persefahaman oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Fakulti Pertanian UPM dengan UGM dan UNPAD  sebelum ini,” katanya.

 

Pengarah Program KMB Global Outreach, Alan David berkata, pelajar KMB UPM juga telah menjalankan kegiatan kesukarelawanan kemahiran komunikasi dan kreativiti visual bersama anak-anak yatim di Panti Asuhan Muhammadiyah, Bandung.

 

Tambahnya, program tersebut diharap dapat melahirkan pelajar yang cemerlang sahsiah, akademik dan kokurikulum sejajar dengan Matlamat 1 dan 3 Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang dan Melestarikan Ekosistem Jaringan Industri dan Masyarakat. - DagangNews.com