UPM saran pengusaha rumput napier jadikan silaj sebagai sumber pendapatan tambahan | DagangNews Skip to main content

UPM saran pengusaha rumput napier jadikan silaj sebagai sumber pendapatan tambahan

Seorang penternak menunjukkan silaj yang dijadikan makanan kepada ternakan ruminan.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Jan - Pengusaha rumput napier atau rumput gajah yang melihat kepentingan dan menyedari bekalan makanan ternakan ruminan kurang di pasaran boleh menambah pendapatan dengan menjual silaj. 

 

Silaj merupakan makanan ternakan ruminan yang terhasil melalui proses pemeraman atau penapaian rumput napier dalam keadaan kedap udara yang boleh disimpan lama dan dijadikan sebagai stok bekalan makanan. 

 

Pakar Sains Pastura Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Shokri Jusoh berkata, pengusaha tersebut yang mempunyai ilmu pembuatan silaj dapat membuka pasaran baharu menjual silaj secara bungkusan kepada penternak di pasaran. 

 

Katanya, keperluan rumput napier untuk penghasilan silaj juga dapat menjamin sekuriti makanan sekaligus membuka industri tanaman baharu.

 

“Kebiasaan pengusaha rumput napier yang mempunyai tenaga pekerja akan menjual silaj dalam bungkusan plastik sebanyak 25 kilogram dengan harga RM10 hingga RM12,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Shokri, usaha ini dapat membantu penternak mendapatkan bekalan makanan yang mencukupi bahkan mengurangkan kos makanan ternakan ruminan dan menambah jumlah pengeluaran bekalan daging.

 

Sementara itu, beliau berkata, pemberian rumput napier dalam bentuk silaj disifatkan sebagai alternatif makanan kepada ternakan ruminan berikutan peningkatan kos bahan makanan seperti dedak dan pelet ketika ini.

 

 

upm

 

 

Jelas beliau, silaj yang dibuat dengan sempurna dalam keadaan bermutu boleh disimpan untuk jangka masa panjang tanpa kemerosotan kandungan nutriennya. 

 

Katanya, silaj boleh disimpan dalam tempoh lama bahkan bertahun mengikut cara penyimpanan betul dan perkara paling penting ialah bekas penyimpanan rumput tersebut perlu kedap udara.

 

 

upm

 

 

“Tempoh pemeraman perlu dilakukan selama dua minggu sebelum diberikan kepada ternakan tetapi masih boleh diberikan lebih awal daripada tempoh tersebut, namun perlu dihabiskan dalam tempoh dua hari sekiranya silaj telah dibuka bagi mengelakkan kerosakan,” katanya.

 

 

upm

 

 

Tambahnya, penghasilan silaj membantu para penternak atau pengusaha rumput napier memastikan pemotongan rumput dapat dilakukan mengikut had umur tuaian.

 

“Tempoh lima hingga enam minggu merupakan umur rumput napier sesuai untuk dituai dan uniknya rumput jenis ini boleh dipotong secara berulang kerana ia akan tumbuh kembali selepas dipotong,” katanya. - DagangNews.com