Vincent Tan kurangkan lagi pegangannya dalam Berjaya Corp kepada 19% | DagangNews Skip to main content

Vincent Tan kurangkan lagi pegangannya dalam Berjaya Corp kepada 19%

Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun

KUALA LUMPUR 26 Jan - Pengasas dan pemegang saham utama Berjaya Corp Bhd., Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun semakin mengurangkan pegangannya dalam kumpulan itu kepada 19.061%.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Vincent Tan telah menjual dua blok saham menerusi transaksi perniagaan secara langsung pada Rabu (25 Januari 2023).

 

Beliau menjual 110.08 juta saham melalui Hotel Enterprise Sdn. Bhd. dan 15.92 juta saham lagi melalui B&B Enterprise Sdn. Bhd.

 

"Berikutan transaksi itu, pegangan langsung Vincent Tan kini berjumlah 7.814% manakala pegangan tidak langsung sebanyak 11.24%," katanya hari ini.

 

Berjaya Corp ketika ini sedang berunding untuk memperoleh 51% kepentingan dalam syarikat insurans hayat, MCIS Life Sdn. Bhd.

 

Bagi melaksanakan langkah pengambilalihan itu, beliau sebagai pengerusi bercadang mengurangkan pegangan dalam kumpulan kepada 19.6% daripada 26%.

 

Pada Januari sahaja, tokoh korporat itu sudah menjual 417.3 juta saham Berjaya Corp.

 

Sementara itu, dalam pengumuman berasingan, kumpulan itu memaklumkan Lim Kuang Wang memperoleh 80 juta saham Berjaya Corp menerusi transaksi perniagaan secara langsung.

 

Ini meningkatkan pegangannya kepada 6.627% daripada 5.194% pada 23 Disember. Kuang Wang merupakan bekas pengarah eksekutif Kossan Rubber Industries Bhd. -DagangNews.com