Warung Cik Nah jadi tumpuan, tawar harga minuman dan makanan sangat murah sejak 1990-an | DagangNews Skip to main content

Warung Cik Nah jadi tumpuan, tawar harga minuman dan makanan sangat murah sejak 1990-an

Warung milik Sinah masih mampu mengekalkan harga yang murah kerana pembelian barangan secara borong dengan mengambil keuntungan yang tidak berlebihan. - Foto DagangNews2023
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 27 Jan - Ketika ramai peniaga merungut dengan kenaikan harga barangan mentah yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini, seorang pemilik warung pula masih berupaya mengekalkan harga minuman sama seperti ia dijual sejak 30 tahun lalu.

 

Warung Cik Nah yang terletak di Losong, Kuala Terengganu itu cukup terkenal dalam kalangan pelancong dan penduduk negeri ini kerana harga segelas teh O hanya RM0.30 sahaja.


 

Sinah Sulaiman
                                      Sinah Sulaiman

 


Pemiliknya, Sinah Sulaiman yang berusia 71 tahun berkata dia berhasrat untuk mengekalkan harga itu sampai bila-bila selagi hayatnya dikandung badan.

 

Menurutnya, pembelian barangan secara borong dapat menjimatkan kos bahan mentah dan walaupun harga minuman dan makanan di warung itu adalah antara yang termurah di negeri ini, dia mendakwa masih boleh meraih keuntungan.


 

cik nah
Sinah Sulaiman, pemilik Warung Cik Nah menunjukkan senarai harga `di bawah pasaran'.

 


"Saya ada lapan pekerja untuk hari biasa manakala cuti hujung minggu, cuti persekolahan dan perayaan pula, bilangan pekerja perlu ditambah hingga 12 orang kerana pelanggan terlalu ramai.

 

"Boleh dikatakan, saya kenal kebanyakan pelanggan kerana mereka memang pelanggan tetap sejak berpuluh dan berbelas tahun lalu.

 

"Selain teh 0 dijual RM0.30, minuman lain pula iaitu teh panas hanya RM0.80, teh tarik RM0.90, kopi O RM1 dan teh ais RM1.20. Setakat ini saya masih belum bercadang untuk menaikkan harga semua minuman tersebut," katanya ketika ditemui DagangNews.com hari ini.


 

cik nah

 

cik nah

 


Ditanya sama ada peniaga kedai lain pernah merasa kurang senang dengan tindakannya yang menjual terlalu murah itu, warga emas tersebut menegaskan ia telah menjadi 'trademark' warungnya sejak 30 tahun lalu.

 

"Saya tidak bersaing dengan mana-mana peniaga lain kerana itulah keistimewaan dan keunikan warung ini sejak 30 tahun lalu dengan niat sambil berniaga, saya mahu bersedekah terutama untuk golongan berpendapatan rendah, ibu tunggal, anak yatim dan golongan asnaf.

 

"Untuk makanan pula, harga kuih muih sekitar RM0.30 hingga RM0.60 sahaja seketul manakala harga menu seperti nasi lemak dan mihun goreng pula ialah RM1 dan RM1.50 sahaja.

 

"Setakat ini, hampir 80 surirumah atau peniaga kecil-kecilan ada menghantar pelbagai jenis kuih muih dan makanan tradisional serta makanan moden di warung ini untuk menjana pendapatan," katanya.

 

Beberapa pelanggan yang ditemui pula mengakui makanan dan minuman yang dijual di Warung Cik Nah itu tetap berkualiti dan sedap walaupun dijual dengan murah.


 

Nur Najwa Natasya Mohd Azman
               Nur Najwa Natasya Mohd Azman

 


Seorang pelajar, Nur Najwa Natasya Mohd Azman, 20, berkata, dia kerap menjamu selera di warung itu kerana lebih 'mesra poket' dan mempunyai pelbagai pilihan makanan.

 

"Kalau ada kawan atau saudara mara yang berkunjung ke Terengganu pun, memang saya cadangkan datang ke warung ini yang semakin terkenal setelah tular di media sosial," katanya.

 

Seorang pesara kerajaan, Fauzi Long, 60, berkata, hampir setiap hari dia akan bersarapan di warung itu kerana harganya yang sangat berpatutan tambahan pula pemilik warung sangat mesra dan tidak kedekut dengan pelanggan.


 

 Fauzi Long
                                Fauzi Long

 


"Sesiapa yang pernah menjamu selera di sini pasti akan datang semula kerana layanan terbaik yang diberikan untuk pelanggannya kerana pemilik warung yakin kegembiraan pelanggan adalah antara punca perniagaannya berkat dan mampu bertahan hingga sekarang," katanya. - DagangNews.com