WhyQ peroleh RM4.6 juta pembiayaan untuk pengembangan platform pendigitalan  | DagangNews Skip to main content

WhyQ peroleh RM4.6 juta pembiayaan untuk pengembangan platform pendigitalan 

Pasukan WhyQ merentas pasaran yang menyediakan perkhidmatan kepada Singapura dan Malaysia.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Jan - Sebuah syarikat permulaan inovasi digital yang membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendigitalkan perniagaan mereka, WhyQ berjaya memperoleh tambahan RM4.6 juta sebagai lanjutan kepada pusingan pembiayaan Siri A2 mereka. 

 

Pusingan lanjutan itu diketuai oleh Kairos FoodTech Fund dari Kairos Capital Group, yang sebelum ini telah melabur dalam Good Meat, Roslin Technologies dan Mission Barns. 

 

Pusingan awal Siri A2 bernilai RM11.8 juta ditutup pada 2021 dan termasuk Delivery Hero, Chope, Angel Central dan RB Investments.

 

Dengan pembiayaan tambahan daripada pusingan Siri A2 yang dilanjutkan ini, mereka merancang untuk terus mengembangkan platform pendigitalan mereka dan menyokong pertumbuhan perniagaan kecil di Singapura dan Malaysia. 

 

WhyQ akan menumpukan pada menambah baik produk sedia ada mereka dan membangunkan produk baharu untuk membantu perniagaan kecil bersaing dengan lebih baik dalam ekonomi digital.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama WhyQ, Varun Saraf berkata, menjalin kerjasama rapat dengan penjaja di Singapura sejak 5 tahun lalu telah membolehkan pihaknya memahami cabaran yang dihadapi pemilik perniagaan kecil mengenai pendigitalan. 

 

"Dengan memanfaatkan pengalaman bekerjasama dengan pemilik dan pengendali makanan dan minuman (F&B) berskala kecil seperti penjaja, kami ingin melanjutkan kepakaran kami membantu pemilik perniagaan kecil di Malaysia untuk mendigitalkan dengan produk ringkas serta percuma," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

whyq

 

 

WhyQ kini menguasai lebih 20,000 perniagaan kecil di Singapura dan Malaysia dengan menyediakan alat yang mereka perlukan untuk berjaya dalam dunia digital. 

 

Syarikat menawarkan dua produk percuma, antaranya aplikasi eBiz (WhyQ EBiz) dan aplikasi simpan kira digital (WhyQ Kira Kira).

 

Sebagai sebahagian daripada trajektori projek yang dirancangnya pada tahun 2023, WhyQ merancang untuk menambahkan lebih banyak ciri pada aplikasi eBiz, seperti templat yang boleh disesuaikan dalam talian dan penyepaduan dengan platform e-dagang popular seperti Shopee dan Lazada. 

 

Mereka juga akan bekerjasama dengan lebih banyak penyedia logistik dan gerbang pembayaran untuk memberikan perniagaan kecil lebih banyak pilihan untuk memenuhi pesanan dan menerima pembayaran.

 

Selain itu, mereka menyasar untuk meningkatkan aplikasi simpan kira digital mereka dengan ciri baharu seperti pengkategorian jualan & perbelanjaan automatik, pengurusan inventori dan pembayaran bil. - DagangNews.com