COVID-19: Anggota APEC 2020 diseru tumpu kukuhkan sistem kesihatan | DagangNews Skip to main content

COVID-19: Anggota APEC 2020 diseru tumpu kukuhkan sistem kesihatan

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Negara-negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan sistem kesihatan dan rangkaian bekalan dalam mendepani cabaran kesihatan global ketika ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata impak pandemik COVID-19 telah menampakkan kelemahan dalam tindak balas kesihatan global.

Beliau berkata, negara anggota ekonomi juga perlu mengadaptasi inovasi kesihatan digital sebagai satu daripada langkah pengurusan impak COVID-19.

Katanya, impak kepada pandemik ini telah memberi gambaran jelas berkenaan kelemahan tindak balas kesihatan global tatkala dunia bergelut mengurangkan impak pandemik ini kepada manusia dan ekonomi.
 

aaa
Dr Adham Baba semasa berucap pada pembukaan Mesyuarat Peringkat Tinggi Kesihatan dan Ekonomi APEC Ke-10 yang diadakan secara maya di Kuala Lumpur hari ini.


“Kekurangan dana dan pelaburan dalam kesihatan telah memberi kesan kepada kemampuan ekonomi dalam menangani krisis kesihatan global.

“Kita perlu lihat kepada pengukuhan sistem kesihatan dan rangkaian bekalan. Ini bagi memastikan kita mampu memenuhi permintaan perkhidmatan dan bekalan kesihatan sewaktu pandemik.

“Menerusi kerjasama APEC, kita mampu untuk membangunkan strategi yang konsisten dan berselaras merentasi pelbagai sektor,” katanya ketika berucap pada pembukaan Mesyuarat Peringkat Tinggi Kesihatan dan Ekonomi APEC Ke-10 yang berlangsung secara maya di sini hari ini.

Menurut laporan Astro Awani, Dr Adham berkata para usahawan dan perniagaan juga perlu menilai semula serta menukar cara perniagaan untuk mengatasi masalah yang wujud susulan kekangan pergerakan orang ramai, barangan dan perkhidmatan ketika ini.

“Pertumbuhan ekonomi termasuk perdagangan antarabangsa anggota ekonomi APEC telah terjejas teruk. Kita menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan menguncup sekitar 3.7% pada tahun ini dengan jumlah kerugian dianggarkan pada kadar AS$2.9 trilion,” ujarnya.

Justeru, beliau menegaskan pentingnya untuk anggota APEC mengukuhkan kerjasama bukan sahaja semasa pandemik COVID-19 memuncak, tetapi juga pada masa akan datang. - DagangNews.com
 

aaa