COVID-19 bukan penghalang capai prestasi ekonomi lebih baik pada 3Q20 | DagangNews Skip to main content

COVID-19 bukan penghalang capai prestasi ekonomi lebih baik pada 3Q20

Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Ekonomi negara dijangka mencapai prestasi yang lebih baik pada suku ketiga 2020.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jangkaan itu dinilai berdasarkan kepada prestasi ekonomi yang dicatatkan sepanjang dua bulan sebelumnya iaitu Julai dan Ogos 2020.

"Berdasarkan prestasi ekonomi pada Julai dan Ogos 2020, suku ketiga dijangka akan lebih baik berbanding suku kedua walaupun peningkatan semula bilangan kes COVID-19 yang berlaku pada akhir September 2020.

"Namun, Malaysia kini mengalami gelombang ketiga penularan COVID-19 dengan penguatkuasaan PKPB di Sabah, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan cabaran ekonomi yang bakal dihadapi," jelasnya dalam laporan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 6/2020 yang dikeluarkan oleh DOSM hari ini.

Laporan MESR bertujuan untuk memberi pengguna di sektor awam dan swasta berhubung fakta dan pandangan mendalam mengenai senario ekonomi terkini.

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin 

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kesemua negeri yang dikenakan PKPB menyumbang sebanyak 46.6% kepada ekonomi pada tahun 2019.

Sebarang perubahan dalam aktiviti ekonomi tersebut akan memberi kesan terhadap prestasi ekonomi negara secara keseluruhannya.

Jelasnya lagi, pelaksanaan PKPB secara bersasar dilihat sebagai pendekatan terbaik bagi mengurangkan kesan pandemik dan mendapatkan semula momentum pemulihan ekonomi negara.

"Pandemik COVID-19 telah mempengaruhi operasi perniagaan sekali gus memberi kesan kepada keseluruhan situasi tenaga buruh di Malaysia dengan peningkatan pengangguran sebanyak 5.3% pada Mei 2020.

"Apabila semakin banyak sektor ekonomi kembali beroperasi, kadar pengangguran jatuh kepada 4.7% pada Julai dan kadar tersebut kekal pada bulan Ogos 2020," jelasnya lagi. - DagangNews.com