COVID-19 : Kerajaan kekal komited cari mekanisme bantu golongan terjejas  | DagangNews Skip to main content

COVID-19 : Kerajaan kekal komited cari mekanisme bantu golongan terjejas 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz


 

 

KUALA LUMPUR 21 Jun - Kerajaan kekal komited dalam mencari pelbagai mekanisme berkesan untuk membantu golongan terjejas akibat pandemik COVID-19.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, sepanjang krisis tersebut, kerajaan terus menyalurkan bantuan tunai secara langsung kepada golongan terjejas.

 

“Setakat ini, masih berbaki sejumlah RM8.1 bilion yang bakal disalurkan sehingga hujung tahun ini (Jun-Disember). Ini termasuk Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) berjumlah RM4.5 bilion dan bantuan bulanan kebajikan masyarakat sebanyak RM1.25 bilion.

 

”Jumlah besar bantuan tunai secara langsung  kepada rakyat melibatkan peruntukan sebanyak RM16.7 bilion  untuk keseluruhan tahun ini. Pelbagai bantuan masih dalam proses pelaksanaan,” katanya pada sidang media secara maya semalam seperti dilapor Bernama.

 

Beliau menambah inisiatif baharu kerajaan turut mendapat sambutan yang baik seperti Program Jaringan Prihatin yang dilancarkan pada Mei dengan setakat ini, sejumlah 1.7 juta permohonan diluluskan termasuk lebih 500,000 pemohon telah mendapat telefon bimbit baharu.

 

Selain itu, Program e-Belia yang dilancarkan pada Jun telah memanfaatkan 1.9 juta belia setakat ini melalui kredit e-dompet bernilai RM150.

 

“Kerajaan juga sentiasa komited untuk memastikan kelangsungan perniagaan  dalam menangani COVID-19. 
Kerajaan memberi bantuan tunai kepada sektor perniagaan untuk tahun 2021 dengan peruntukan kira-kira RM14.1 bilion.

 

“Bantuan ini belum berakhir. Sebanyak satu juta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro akan menerima Geran Khas Prihatin (GKP) pada hujung bulan ini dan Julai,” kata beliau.

 

Tengku Zafrul berkata, peruntukan Program Subsidi Upah pula masih berbaki sebanyak RM6 bilion untuk disalurkan oleh kerajaan bagi menjamin bayaran gaji kepada 2.7 juta pekerja.

 

Sementara itu, selaras dengan pembukaan sektor ekonomi secara beransur-ansur, beliau berkata, tumpuan juga akan diberi kepada program pinjaman mikro untuk PKS kecil memulakan semula perniagaan mereka.

 

Menurut beliau, subsidi bagi bantuan tidak langsung pula mencecah RM15 bilion bagi tahun ini, berbanding perbelanjaan sebanyak RM9 bilion pada 2020.

 

Dalam pada itu, dengan kenaikan harga minyak global, katanya, kerajaan turut memastikan impak kenaikan kos sara hidup rakyat dihadkan.

 

“Antara inisiatif kerajaan adalah menetapkan harga siling runcit RON95 pada RM2.05 seliter serta  subsidi satu pek 1 kilogram minyak masak pada harga RM2.50. 

 

"Bagi tempoh Januari hingga Mei, kerajaan telah menanggung perbelanjaan berjumlah RM4 bilion dari segi peruntukan subsidi untuk tahun ini,” jelas beliau.

 

Selain  itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan kini mengambil pendekatan moratorium bersasar dengan memastikan semua yang terkesan dengan pandemik itu mendapat bantuan yang diperlukan.

 

Menyentuh mengenai tinjauan ekonomi negara, menurutnya, pertumbuhan ekonomi akan berada dalam zon positif berbanding pertumbuhan negatif yang dicatatkan tahun lepas. - DagangNews.com