Skip to main content

COVID-19: Kluster manakah anda? Kluster Politik? Kluster Pilihan Raya?

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

PADA 16 Januari 2021, sebanyak 4,029 kes positif COVID-19 baharu dicatatkan di seluruh negara. Apakah ia hanya statistik di mata kita? Sebab anda rasa tiada apa hendak dirisaukan. Banyak-banyak itu kena orang lain, bukan kita. Itukah dalam kepala anda dan tiada perlu rasa cemas, takut atau sedikit pun insaf?

 

Tetapi jika anda ada rasa sebaliknya, iaitu kerisauan tulen maka anda adalah kluster berfikiran wajar, berakal dan sedar diri. Bahawasanya negara kita sekarang dalam bencana besar! Masihkah mahu keluar rumah beriadah bersama keluarga ke tempat awam?

 

Maklumlah dapat lesen kerja dari rumah. Anak-anak juga belajar menerusi atas talian sahaja. Yang sekolah menengah 18 Januari baharu guru-guru hendak beri taklimat cara pengajian menerusi internet. Apa hendak jadi dengan anak murid tahun 2020 dan 2021 nanti, kita harap tidak menjadi bejat.

 

Perisytiharan Proklamasi Darurat oleh Kerajaan Malaysia yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari lalu dilaksanakan sehingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19.

 

aaa

 

Kluster Sedar Diri

Sebagai ahli kluster sedar diri, kita tentunya menerima walaupun berat, perintah kawalan pergerakan (PKP) sekali lagi. Impak ke atas ekonomi pasti berulang. Sesudah pelbagai insentif dan bantuan dilaksanakan kerajaan, termasuk kebenaran mengeluarkan caruman KWSP sebanyak RM10,000 kepada semua yang layak, nampaknya keadaan akan kembali getir.

 

Kerana sedar diri juga, kita harus membuka hati. Jika tidak dilaksanakan PKP, amat sukar untuk kita membendung penularan wabak ini. Soalnya, berapa ramai yang patuh 100% PKP? Ditawar ayam percuma di Putrajaya, yang duduk Ijok pun sanggup datang merentas daerah. 

 

Walaupun akan ada vaksin, kita sudah tahu sekarang bahawa vaksin itu belum 100% terbukti berkesan kerana vaksin itu perlu diselidik kesan sampingan ke atas badan yang memerlukan masa untuk pemantauan. Sebab itu juga, peringkat pertama kerajaan minta sukarelawan tampil untuk diuji bagi mengetahui kesan-kesannya kelak.

 

Kluster Politik

Sejurus sahaja proklamasi darurat diisytiharkan, keluh-kesah dan rungutan politik pantas terpampang di segala platform media. Antara yang paling kerap diulang-ulang ialah darurat ini sengaja dilaksanakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kesinambungan hayat politiknya menerusi Perikatan Nasional atau PN.

 

Ini kerana kerajaan campuran pimpinan beliau, berdepan dengan pergolakan sepanjang masa daripada “rakan sekatil, mimpi lain-lain”  iaitu UMNO yang baharu selesai mengadakan mesyuarat agung tahunan peringkat bahagian di seluruh negara.

 

Tidak cukup dari dalam sesama `kawan’ Perikatan Nasional bergasak, parti pembangkang pun tumpang semangkuk bagi tekanan `kakkaw’ kepada Putrajaya.

 

Lagi dahsyat bila Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen meminta mereka mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk merayu baginda membatalkan Pengisytiharan Darurat dan membolehkan persidangan Parlimen diadakan dengan kadar segera.

 

aaa

Ok. Mari fahami tingkah laku ahli politik ini dan mungkin anda akan jumpa juga hujah masuk akal:
 

1. Muhyiddin dalam tekanan besar, jadi beliau minta Agong isytihar darurat sampai Ogos.

2. Bermakna jangka hayat Perdana Menteri yang dipegangnya akan berterusan tanpa boleh diganggu-gugat.

3. Muhyiddin benar-benar mahu menangani COVID-19, jadi hal politik terpaksa diketepikan. Tentunya beliau mahu jawatannya sebagai PM diiktiraf oleh semua pihak setelah meraihnya dalam peristiwa Langkah Sheraton pada Februari 2020.

 

Yang kita cuba faham kenapa penentangnya beriya-iya menolak proklamasi darurat:

  1. Parti Muhyiddin adalah serpihan UMNO. Bubar dan kembali ke pangkuan atau bubar, selamat jalan. – pandangan UMNO
     
  2. Parti Muhyiddin kecil, bekas UMNO dan bekas PKR. Tiada sokongan ikhlas di dalam PN, kecuali Pas. – pandangan pembangkang
     
  3. Kedudukan lemah Bersatu, boleh dimakan oleh UMNO dan PKR menerusi pilihan raya umum – pandangan UMNO dan PKR, DAP

 

Yang orang tidak mahu faham ialah :

  1. Betul atau tidak pun perspektif di atas, Muhyiddin ada alasan kukuh untuk dapatkan perintah darurat, sekaligus tidak boleh diadakan pilihan raya sampai Ogos 2021 iaitu fokus bendung COVID-19.
     
  2. Faktor paling penting ialah kenapa masih tidak mahu patuh bahawa perintah ini datangnya dari Yang di-Pertuan Agong. Bukankah teras negara ialah 5 Rukun Negara dan nombor 2 ialah Kesetiaan Kepada Raja dan Negara?
     
  3. Bagi rakyat marhain terutama masyarakat Melayu yang masih dan tetap menghormati institusi diraja, keengganan sesiapa untuk patuh kepada titah Sultan adalah tingkah laku biadap yang akan diingati sehingga waktu mengundi.

     

aaa

 

Kluster Pilihan Raya

Apa beza dengan kluster politik? Sikit saja. Kluster politik memang hari-hari berpolitik. Jalan, makan, tidur politik. Tak boleh marahlah jika bencana tanah runtuh pun jadi bahan politik. Belum kira lagi bab beli vaksin COVID-19. Lagi boleh dipolitikkan, balun sahaja.

 

Beza kluster pilihan raya ini pula, dipermudahkan bahasa ialah kumpulan yang menyifatkan musim pilihan raya sebagai musim menuai padi atau musim durian. Mereka tidak semestinya ahli politik tetapi lebih kepada mereka yang hendak mengaut keuntungan semasa pilihan raya.

 

Fakta 1:

  1. Ahli politik mahu namanya dicalonkan sebagai calon bertanding. Dia perlukan pelobi.
     
  2. Wakil rakyat sedia ada yang mahu kekal bertanding di kawasannya. Dia perlukan pelobi.

 

Fakta 2 :

  1. Pelobi yang mahu wakil rakyat yang menggajinya bertanding, perlukan rangkaian pelobi. Kabel menjalar ke Ibu pejabat parti.
     
  2. Tidak ada kabel demikian, cari kabel bawah tanah. Tidak mengapa, janji ada.

 

Kedua-dua senario di atas memerlukan wang tunai yang besar dan transaksi secara tunai. Jangan cepat tuduh rasuah. Ini bab penggajian iaitu jawatan pelobi.

 

Pelobi ini hidup terbilang secara:

  1. Rangkaian pelobi terdiri daripada orang-orang kanan kiri ketua parti atau setaraf dengannya.
     
  2. Jalin hubungan dengan Warlords atau ahli perniagaan yang murah hati derma juta-juta Ringgit.
     
  3. Pemilik media massa (bercetak atau dalam talian) yang sememangnya ditubuh untuk menjadi wadah propaganda. Dapat sejuta dua Ringgit masa COVID-19 ini memang capai sasaran!
     
  4. Kluster ini tidak lut COVID-19, tidak hirau PKP apa lagi Proklamasi Darurat. Malah peduli apa bertentangan dengan syarat pekerjaan azali. Asalkan projek eksport ketam menjadi!
     
  5. Lazimnya, selepas pilihan raya kelompok ini akan minta bantuan kerajaan dengan alasan sulit untuk hidup, walhal duit berjuta-juta sudah dapat. Konsep integriti di mulut dia, hanya dia seorang mengerti.

     

aaa

 

Merrepak sengaja paparkan kluster pilihan raya untuk menceritakan mengapa sukar untuk menyakinkan rakyat bahawa keputusan kerajaan hari ini, berpaksi kepada faktor menumpu kepada usaha membendung COVID-19.

 

Jentera propaganda yang dilakukan oleh Kluster Politik dengan bantuan Kluster Pilihan Raya, kini sedang bergerak cergas mempengaruhi rakyat bahawa kerajaan Muhyiddin tidak berupaya mengendalikan krisis pandemik COVID-19.

 

Jadi, anda tanya diri sendiri. Dimanakah anda? Bersama kluster sedar diri atau yang dua lagi itu?

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, yang merupakan Ketua Kandungan TV Sarawak, Editor DagangNews.com dan bekas Editor Eksekutif Utusan Malaysia 1938, pada setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu The Winner Takes It All oleh ABBA berulang-ulang kali. 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.