COVID-19: Pelancaran Proton X50 diteruskan secara maya | DagangNews Skip to main content

COVID-19: Pelancaran Proton X50 diteruskan secara maya

Proton X50

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Meskipun berdepan tekanan apabila 50 kakitangan Proton di Shah Alam dijangkiti COVID-19, syarikat berkenaan tetap akan meneruskan pelancaran rasmi model Proton X50 seperti yang dijadualkan.

Jurucakap Proton memberitahu, pelancaran model berkenaan akan dijalankan secara maya berbanding perancangan untuk pelancaran fizikal pada sebelumnya.

"Berkenaan dengan pelancaran Proton X50, kami terus jalankan secara maya mengikut jadual.

"Pada mulanya kami merancang untuk mengadakan pelancaran secara fizikal, namun sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diumumkan syarikat telah memutuskan bahawa pelancaran seperti itu tidak sesuai dijalankan berdasarkan kepada keadaan semasa dan memutuskan untuk penganjuran cara berbeza.

"Bagi aspek pengeluaran kenderaan kami pula, keterlibatan pekerja di bahagian kejuruteraan yang perlu dikuarantin tidak memberi kesan kepada jumlah pengeluaran kenderaan kami," katanya seperti dilapor Soya Cincau.

Proton hingga kini belum membuat pengumuman harga kenderaan Proton X50 SUV.

Bagaimanapun, model baharu itu telah menerima 20,000 tempahan hanya dalam masa dua minggu sekali gus menjangkaui ramalan syarikat.

Pada 15 September lalu, DagangNews.com melaporkan model kenderaan itu boleh ditempah dengan harga serendah RM500.

 

Baca: Tempahan Proton X50 serendah RM500 bermula esok

 

Proton X50 akan membuat penampilan dalam empat jenis varian yang berbeza bersama dua pilihan enjin.

Kenderaan baharu itu juga telah mendapat penarafan NCAP Asean 5 bintang bagi model standard yang dilengkapi dengan empat beg udara. - DagangNews.com