Skip to main content

COVID-19: Serba Dinamik sumbang bantuan kepada lebih 21,000 penduduk Lembah Klang

WAKIL pasukan Serba Care Team menyumbang bekalan makanan untuk petugas di PPV Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, baru-baru ini.

 

SHAH ALAM 21 Julai – Lebih 21,000 penduduk di sekitar kawasan Selangor dan Kuala Lumpur telah menerima pelbagai bantuan daripada Serba Dinamik Holdings Berhad dalam membantu golongan rakyat yang kini berdepan cabaran luar jangka akibat pandemik COVID-19.

 

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Ir Mohd Abdul Karim Abdullah, bantuan itu disalurkan menerusi peruntukan RM150,000 yang telah disediakan di bawah bajet pelan induk program Serba Care Team.

 

Katanya, peruntukan untuk setiap kawasan itu adalah tepat bagi membantu rakyat dan tindakan lebih agresif diambil setiap hari sejak 1 Julai lalu dan ia masih berterusan sehingga sekarang.

 

“Agihan diberikan kepada 10,000 penduduk di Parlimen Bandar Tun Razak meliputi golongan B40, bayi, warga emas dan keluarga yang terputus bekalan makanan serta hilang punca pendapatan sejak PKP.

 

“Untuk mengenal pasti lebih ramai golongan memerlukan, pegawai saya turun ke lapangan untuk melihat sendiri mereka yang layak dibantu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menurutnya, Serba Care Team turut mengagihkan barang keperluan ke Perumahan Awam Desa Rejang yang sebelum ini telah diisytiharkan sebagai kawasan kluster.

 

“Lebih 20,000 penduduk di kawasan Parlimen Wangsa Maju itu telah menerima barangan keperluan lampin pakai buang untuk kanak-kanak dan orang dewasa, susu tepung bayi serta barangan penjagaan kendiri”, katanya.

 

serbadinamik
Wakil Serba Care Team menyampaikan sumbangan kepada petugas di Flat Sri Sabah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

 

Selain itu, Serba Care Team turut menyerahkan 1,000 bakul makanan kepada golongan barisan hadapan (Frontliner) dan sukarelawan di tiga lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu PPV UiTM, Shah Alam, PPV Sunway Pyramid Convention Centre dan PPV Setia City Convention Centre. – DagangNews.com