Skip to main content

Cryptocurrency - boleh ke tak?

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

BEBERAPA sahabat-handai begitu aktif memaparkan aktiviti mata wang kripto atau cryptocurrencies pada media sosial mereka. Sekali imbas, memang tak menarik terutama yang tidak berminat hal-hal pelaburan.

 

Namun bagi yang celik pelaburan, peluang-peluang yang tersedia pada kripto ini nampaknya semakin kuat melambai-lambai mengajak turut serta.

 

Masalahnya, tidak ramai boleh menerangkan dengan teliti makna sebenar mata wang kripto. Apakah ia menyerupai melabur saham di Bursa Malaysia? Apakah perlu ada remisier? Hendak buka akaun bagaimana? Suruhanjaya Sekuriti (SC) beri kebenarankah? Halalkah?

 

Ini memerlukan kita menyelongkar lebih dalam, mengkaji satu per satu (dan bagi yang malas membaca, memang kirim salam sahaja tetapi mata tertarik melihat angka pulangan yang jauh luar biasa berbanding bursa!).

 

Baik, kita mulakan satu per satu:

 

  1. Peraturan

Pada Disember 2020, begitu rancak persoalan dikemukakan di media massa kepada Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti mengenai kedudukan dasar atau polisi negara berkenaan mata wang digital ini.

 

Fomca meminta pihak berkuasa menjelaskan kekeliruan mengenai kripto. Bank Negara jelas menyatakan mata wang digital bukan legal tender di Malaysia. Malah tidak dilindungi standard dan prudential pasaran yang terpakai kepada peraturan kewangan yang dikuatkuasakan oleh Bank Negara.

 

Suruhanjaya Sekuriti pula menyatakan `mata wang dan token digital tidak diiktiraf sebagai legal tender atau sebagai satu bentuk instrumen pembayaran yang diselia oleh Bank Negara’, kata CEO Fomca, Dr Paul Selva Raj dalam kenyataannya pada 7 dan 9 Disember 2020.

 

merrepak

 

  1. Jawapan BNM & SC

Pada 16 Disember 2020, dalam jawapan bersama BNM dan Suruhanjaya Sekuriti kepada Fomca menjelaskan bahawa kedua-duanya bekerjasama untuk membangunkan dasar dan peraturan untuk mata wang kripto dan aset digital.

 

Ia dengan matlamat memudahcara inovasi berwibawa dan pada masa sama, menguruskan sebagai risiko yang mungkin timbul di dalam sektor baharu muncul ini.

 

Bagi tujuan aset digital, kedua-duanya menyediakan peraturan aktiviti perniagaan yang khusus.

 

Dalam kenyataan media itu juga, BNM menggariskan peranannya sebagai pemantau sistem pembayaran bagi memastikan keselamatan, daya harap dan kecekapan sistem serta instruman pembayaran.

 

“Aset digital yang diterbitkan secara persendirian seperti mata wang kripto adalah tidak sesuai sebagai instrumen pembayaran umum kerana mereka tidak mempamerkan perwatakan sejagat duit dan berdepan dengan beberapa had, termasuk kemeruapan harga dan terdedah kepada ancaman siber.

 

“Lanjutan itu, aset digital adalah bukan instrumen pembayaran yang dibawah peraturan BNM dan tidak dianggap wang yang diterima secara sah sebagai tukaran kepada barangan atau perkhidmatan (legal tender) di Malaysia.

 

“Bagaimanapun, aset digital mempunyai kepelbagaian kegunaan, termasuk pelaburan kes aset tertentu. Sebagai pentadbir pasaran modal di Malaysia, SC telah memasukkan aset digital sebagai sekuriti yang tertakluk kepada undang-undangnya. Maka itu, aset digital boleh diterbitkan oleh syarikat bagi tujuan meraih dana tertaklu kepada penerbit memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh SC.

 

merrepak

 

  1. Fahamkah?

Kalau anda lebih fasih Bahasa Inggeris, sila rujuk kenyataan BNM di laman web bank negara.

 

Secara ringkasnya, ikut kefahaman kasar, Bank Negara maklum kewujudan mata wang kripto tetapi belum ada lagi peraturan khusus. Tengah buat, katanya.

 

Pada Januari lalu, terdapat 56 firma yang berurusan dengan mata wang digital telah mendaftar sebagai institusi yang melaporkan kepada Bank Negara.

 

Bagaimanapun, Bank Negara tetap memberi peringatan bahawa maklumat mengenai 56 firma tersebut bahawa tidak sama sekali menunjukkan perlesenan, pemberian kuasa atau perakuan diberi oleh bank negara ke atas mana-mana entiti tukaran mata wang digital atau sebagainya yang terlibat memberikan perkhidmatan berkaitan mata wang digital.

 

“BNM tidak mengesahkan mana-mana maklumat yang diisytiharkan oleh institusi yang melaporkan atau menyokong metodologi harga yang diguna oleh pedagang mata wang digital.

 

“Orang ramai harus berwaspada bahawa tidak wujud elemen perlindungan pengguna atau saluran untuk mengadu jika terdapat aduan atau kerugian dan kerosakan dilakukan oleh mana-mana pihak yang berurusan di dalam mata wang digital,” kata BNM.

merrepak

 

  1. Cuba-cuba faham

Bahaya jika faham ikut SOP sendiri. Kena denda RM10,000 nanti. Jadi kita belek dan kaji lebih lagi.

 

Di Amerika Syarikat, masa hadapan kripto ini dikaitkan dengan kemenangan Joe Biden dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat menewaskan Presiden Donald Trump.

 

Ini kerana Trump memang terang-terang tidak suka kripto dan melantik kalangan yang diketahui sependapat dengannya menjadi menteri atau pegawai kerajaan.

 

Biden sebaliknya, dilihat lebih cenderung kepada mata wang digital dan semua yang terlibat menantikan bentuk tindakan selanjutnya presiden baru ini.

 

Majalah dalam talian entrepreneur.com menasihatkan para pedagang, “buat masa ini, perhati dengan teliti perubahan peraturan. Ia akan menjejaskan nilai mata wang kripto, tetapi adalah sukar untuk meramalkan arah tuju sebenarnya.

 

“Sementara akan ada menyebabkan kerugian dari segi nilai, lain-lain mungkin melonjakkan harga Bitcoin dan mata wang kripto.

 

“Tidak ragu-ragu kejayaan Biden menjadi pendorong besar kepada industri, tetapi kita harus ingat bahawa suasana sekarang masih di peringkat awal. Industri perlu bersiap sedia dengan perubahan peraturan yang bakal diperkenalkan - meskipun mereka tidak mahukannya - dan mencari kaedah untuk patuh tanpa kehilangan tarikan dan keseluruhan asal kewujudan Bitcoin dan ratusan lagi mata wang kripto yang wujud sekarang.

 

merrepak

 

  1. Beranikah?

Jika tidak berani guna duit sendiri, cuba dengar pengalaman sahabat. Ada masanya cerita sahabat itu wangi-wangi semua. Labur sebulan dapat pulangan 30%. Macam bunyi MLM pula. Tetapi ada juga terencat. Baru berjinak-jinak terus merudum. Pun ada juga.

 

Di sinilah pentingnya kita kena merajinkan diri. Buat kajian. Buat semakan. Baru cuba. Mulakan dengan paras minimum, RM1,000. Sudah selesa nanti, pandai-pandailah. Sama seperti bursa saham, bila letak duit di dalam, tidak boleh tidak ambik endah. Kena perhati dari semasa ke semasa.

 

merrepak

 

Kalau malas perhati selalu, letak dalam Amanah Saham Nasional atau Tabung Haji. Setahun sekali sahaja sibuk hal dividen. Tapi dijamin pelaburan anda tidak rugi.

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, yang merupakan Pengarang Urusan DagangNews.com dan bekas Editor Eksekutif Utusan Malaysia 1939, pada setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu SEMANGAT YANG HILANG - XPDC  berulang-ulang kali. 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.