Cukai hotel dan Airbnb bakal diselaraskan | DagangNews Skip to main content

Cukai hotel dan Airbnb bakal diselaraskan

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Kerajaan bakal menyelaraskan cukai selain peraturan yang dikenakan ke atas hotel dan platform tempahan penginapan dalam talian, Airbnb.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berkata, langkah itu bakal memberi nafas baharu kepada sektor pelancongan selain memulihkan ekonomi negara. 

Jelas beliau, tidak dinafikan sektor perhotelan terjejas lebih teruk akibat penularan COVID-19 berbanding perkhidmatan Airbnb yang tidak terikat dengan mana-mana peraturan. 

“Sudah pasti dalam perniagaan, kita ada konsep 'level playing field' maknanya berlaku adil pada semua. 

Jika satu pihak dikenakan pelbagai peraturan, manakala satu lagi pihak tidak tertakluk dengan sebarang peraturan, ia adalah tidak adil,” katanya malam tadi. 

Sehubungan itu, beberapa perbincangan telah diadakan antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta kerajaan negeri Melaka.

Dalam masa sama, sebuah jawatankuasa ditubuhkan di bawah Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali yang ditugaskan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, kerajaan turut sedia membantu merancakkan sektor pelancongan Melaka selain mempertimbangkan permohonan yang dikemukakan negeri itu di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Ini termasuk permohonan peruntukan RM100 juta bagi projek pembangunan kereta kabel dan penyelenggaraan beberapa destinasi pelancongan bernilai RM25 juta di Melaka

"Kami sedia mempertimbangkan permohonan kerajaan negeri, bukan sahaja untuk sektor pelancongan tetapi juga projek pembangunan,” tambah beliau. 

Permohonan itu akan dibawa ke peringkat perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri sebelum keputusan dikeluarkan. - DagangNews.com