DagangNews.com berkolaborasi dengan TV Sarawak | DagangNews Skip to main content

DagangNews.com berkolaborasi dengan TV Sarawak


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

 

SHAH ALAM 20 Okt. - Portal berita perniagaan berbahasa Malaysia, DagangNews.com mengumumkan kolaborasi dengan stesen televisyen terbaharu di negara ini, TV Sarawak atau TVS dalam penyediaan kandungan.

 

Pengarang Urusannya, Johardy Ibrahim berkata, DagangNews.com amat berbesar hati menerima kepercayaan daripada pihak pengurusan TVS untuk menjalin koloborasi tersebut.

 

"Portal berita ini yang baru ditubuhkan pada Julai 2020, bermatlamat menjadi wadah berita kepada pembaca sasaran iaitu yang berbahasa Kebangsaan dan sektor perniagaan yang mahu mempersembahkan produk dan perkhidmatan mereka kepada audiens ini, yang merupakan segmen terbesar di Malaysia.

 

"DagangNews.com juga mengisi permintaan di dalam industri media tempatan, khususnya dalam pemberitaan ekonomi dan perniagaan yang kebanyakannya berat kepada bahasa Inggeris.

 

"Kami yakin kolabolarasi dengan TVS ini akan saling menyokong antara satu sama lain menerusi perkongsian menang-menang,'' kata beliau di sini hari ini.

 

Segmen berita ekonomi di TVS disiarkan menerusi program Sejahtera Asia pukul 7.30 pagi hingga 8.30 pagi Isnin-Khamis di Saluran 122 Astro dengan memaparkan berita ekonomi utama negara, selain entiti atau personaliti Sarawak. Segmen pertama telah disiarkan pada 19 Oktober 2020.

 

TVS adalah stesen tv yang dimiliki oleh kerajaan negeri Sarawak, dilancarkan secara rasmi pada 10 Oktober 2020 dan diterajui Pengerusi Sarawak Media Group, Datuk Norhyati Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif, Suhaimi Sulaiman.

 

Johardy berkata, DagangNews.com menyediakan bukan sahaja berita ekonomi dan perniagaan, malah memiliki kolumnis-kolumnis yang arif dan pakar di dalam bidang masing-masing, yang disusun mengikut hari.

 

Isnin dimulai dengan ANEKDOT MAWARITH tulisan pengasas Wasiyyah Shoppe, Ariffin Sabirin; Selasa JIWO NIAGO oleh Dr Ismail Ab Wahab (bekas profesor keusahawanan UiTM); Rabu dengan SENsor RINGGIT oleh Dr Rosalan Ali (bekas profesor pelaburan UiTM).

 

Khamis pula WAINUIOMATA oleh Mohd Fudzail Mohd Nor (Karyawan Tamu UniSZA), Jumaat dengan DEWI oleh Dr Dewi Tajuddin (Pensyarah Kanan Pengurusan UiTM Sabah), Sabtu bersama IDEA DIGITAL oleh Azleen Abdul Rahim (pakar e-pemasaran) dan Ahad MERREPAK oleh Johardy Ibrahim.

 

Di samping itu, DagangNews.com turut menyediakan ruangan RANDAU INDUSTRI yang menjadi platform kepada peneraju syarikat, penganalisis, pencetus idea, inovator atau pelajar untuk menulis dan menghuraikan idea masing-masing di dalam bentuk esei.

 

Turut disediakan ialah ruangan MULANYA DI SINI yang khusus untuk syarikat-syarikat baharu bermula untuk membentangkan analisis perniagaan mereka atau berkongsi idea serta mendapatkan input daripada pasaran. - DagangNews.com