Dah la PKP, kini darurat - Panikkah kita?  | DagangNews Skip to main content

Dah la PKP, kini darurat - Panikkah kita? 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


Minggu yang 'tragis' buat rakyat Malaysia. Baru sahaja memasuki minggu kedua 2021, pelbagai perkara sudah berlaku. 

 

Baru sahaja semalam diumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, sebentar tadi darurat pula diisytiharkan. Mujur i-Sinar memberi sedikit kelegaan di awal tahun yang sudah huru-hara. 

 

Hakikatnya, apa yang anda perlu tahu mengenai kedua-dua perkara ini? Perlukah kita panik? 

 

Rakyat yang panik, membuat pembelian panik, darah tinggi naik bila fikirkan tentang kewangan, kena buang kerja atau tidak, lagi naik angin i-Sinar tidak diluluskan KWSP. 

 

Pasaran yang panik pula, menyebabkan pasaran jatuh di bawah paras 1,600 mata, ringgit juga merosot sehingga mencecah RM4.072 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara. 

 

Dari satu sudut, tidak salah mempunyai perasaan sedemikian, kerana apa yang berlaku ketika ini tidak pernah terjadi sebelum ini. Malah, pelabur juga mengambil langkah berhati-hati dalam pasaran. 

 

Walaupun, pasaran yang dibuka semula selepas tamat dagangan tengah hari, sudah melepasi paras rintangan 1,600 dengan merangkak kepada 1,605.48 mata setelah susut 11.77 mata tetapi hakikatnya, suasananya masih suram. 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam taklimat khas pagi tadi memberi jaminan bahawa darurat yang diisytiharkan sehingga 1 Ogos ini bukan satu bentuk rampasan kuasa mahupun perintah berkurung, telah menyuntik sedikit kenyakinan dalam pasaran. 

 

Semalam, kerajaan mengumumkan PKP akan dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Melaka, Johor dan Sabah mulai tengah malam 13 hingga 26 Januari yang mana pergerakan antara daerah adalah dilarang.

 

PKP Bersyarat (PKPB) pula akan dikuatkuasakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan juga bagi tempoh yang sama manakala Perlis dan Sarawak akan menjalani PKP Pemulihan (PKPP).

 

Penganalisis berpendapat langkah yang diambil kerajaan ini adalah keperluan yang tidak boleh dielakkan walaupun memberi impak kepada ekonomi memandangkan jangkitan COVID-19 berada pada tahap membimbangkan. 

 

Sehubungan itu, keputusan perlu dibuat supaya kesihatan rakyat terjamin di samping memastikan kapasiti sektor kesihatan sentiasa mencukupi untuk mengendalikan kes-kes COVID-19.

 

"Oleh demikian, akan ada trade off. Momentum pemulihan ekonomi akan terjejas berikutan pergerakan manusia menjadi terhad berikutan PKP, PKPB yang dilaksanakan di kebanyakan negeri," jelas Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid.

 

Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid
Dr. Mohd. Afzanizam Mohd. Rashid

 

Bercakap kepada DagangNews.com, beliau berkata, meskipun begitu, vaksin COVID-19 sudah ada dan pihak berwajib telah memberikan kelulusan. 

 

"Apabila program vaksinasi dijalankan mengikut fasa yg ditetapkan maka prospek pembukaan ekonomi akan menjadi lebih baik. Tetapi, perkara ini perlu mengambil masa untuk mencapai herd immunity," katanya.

 

Menurutnya, keadaan ini akan menyebabkan momentum pemulihan dijangka lebih perlahan berbanding unjuran awal.

 

"Namun, bagi saya, langkah ini perlu bagi memutuskan rantaian jangkitan dan memastikan kapasiti sektor kesihatan sentiasa terjamin," ujarnya. 

 

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, daurat kali ini adalah berbeza daripada yang biasa kerana tiada perintah berkurung dikenakan sebaliknya aktiviti ekonomi berjalan seperti biasa, tertakluk kepada PKP.  

 

Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid
Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid

 

Secara dasarnya, beliau berkata, tidak dapat dinafikan, PKP memberi kesan kepada ekonomi, yang sepatutnya sudah mula mengukuh, namun sedikit tergelincir dan dibantutkan lagi oleh ketidak stabilan politik yang melanda. 

 

Keadaan ini, katanya, pasti membuat rakyat gelisah dan lebih daripada itu menyebabkan ketidaktentuan dalam kalangan pelabur luar. 

 

"Perintah darurat ini dijangka memberi kesan positif, sekurang-kurangnya sehingga Ogos. 

 

"Malah, ia memberi peluang secukupnya kepada kerajaan sedia ada untuk memberi fokus sepenuhnya memulihkan ekonomi, berbanding sering memberi penjelasan dan melawan percakaran dalaman gabungan kerajaan sedia ada atau dari pembangkang," katanya.   

 

Kementerian-kementerian juga, menurut beliau, dapat berfungsi dengan tenang, tanpa memikirkan menteri mereka akan diganti, hala tuju akan diubah atau bajet ditarik balik. 

 

Katanya, kestabilan politik ini, walaupun sementara, dijangka dapat membantu pemulihan ekonomi kita dengan lebih baik dan cepat.

 

"Saya pasti rakyat juga boleh menarik nafas lega, apabila melihat butiran penjelasan lanjut mengenai perintah darurat ini.

 

"Sebagai darurat 'politik' dan tidak melibatkan sebarang perintah berkurung, atau kekangan kepada aktiviti ekonomi secara total

 

"Semoga kestabilan politik sementara ini, dan PKP yang mengawal penularan COVID-19 selama 2 minggu ini, dapat membantu negara memulihkan ekonomi dan rakyat kembali sejahtera," katanya. 

 

Hakikatnya, Malaysia telah melalui beberapa kali darurat. Antara yang paling diingati tentunya darurat pada Mei 1969 berikutan tragedi rusuhan kaum yang mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Umum pada 10 Mei 1969.

 

Bagi penduduk di beberapa kawasan di Sarawak, Selangor dan Johor pula pasti tidak lupa dengan pengisytiharan darurat jerebu pada 1997, 2005 dan 2013 susulan paras pencemaran udara yang sangat teruk ketika itu.

 

Darurat hampir diisytiharkan pada pertengahan Oktober lalu yang mana rata-rata pihak melihatnya lebih cenderung kepada 'darurat politik'. 

 

Susulan itu, Pakar Perlembagaan, Prof. Dr. Shamrahayu A. Aziz dalam hantaran di Facebooknya pada Oktober lalu menjelaskan, terdapat 3 asas yang boleh digunakan Agong bagi membuat pengisytiharan darurat iaitu ancaman ke atas keselamatan negara, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam. 

 

Perlembagaan juga jelasnya, membenarkan pengisytiharan darurat melalui Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

 

'Kejutan' darurat ini secara tidak langsung menyebabkan indeks FBM KLCI pada Oktober jatuh 38 mata atau 2.5% untuk ditutup kepada 1,467 mata, menurut nota kajian CGS-CIMB Research pada awal November lalu.

 

Malah, tragedi Oktober itu turut menyaksikan penyertaan pelabur runcit dalam pasaran ekuiti Malaysia yang pada awalnya mencatatkan peningkatan bila PKPB bermula 14 Oktober tetapi semakin menyusut susulan perbincangan pengisytiharan darurat pada 23 Oktober dan lanjutan PKPB sehingga 9 November. - DagangNews.com