Dakwaan buruh paksa, IOI belum dihubungi CBP AS | DagangNews Skip to main content

Dakwaan buruh paksa, IOI belum dihubungi CBP AS

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Jun - IOI Corp Bhd. mengambil maklum mengenai surat yang dikeluarkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) yang membuka siasatan terhadap syarikat itu atas dakwaan penggunaan buruh paksa.

 

Dalam kenyataan di laman webnya hari ini, IOI merujuk kepada sepucuk surat bertarikh 26 Mei 2021 yang dikemukakan CBP AS kepada Pakar Migran Hak Asasi Pekerja, Andy Hall dan telah diedarkan kepada pihak-pihak berkaitan.  

 

Bagaimanapun, menurut syarikat perladangan tersebut, sehingga kenyataan ini dikeluarkan, pihak CBP belum berhubung dengan mereka mengenai siasatan yang dijalankan. 

 

"Oleh itu, IOI akan mengambil langkah proaktif untuk menghubungi CBP untuk mengesahkan terdapatnya siasatan berkenaan dan kami menawarkan untuk memberi kerjasama dengan memberikan penjelasan diperlukan dan dokumen untuk membantu siasatan," katanya.

 

Secara dasarnya, IOI telah menyemak kandungan surat tersebut yang mana menunjukkan petisyen berhubung maklumat atas dakwaan penggunaan buruh paksa dalam operasi IOI di Malaysia.

 

Menurut syarikat itu, IOI amat memahami kepentingan hak pekerja dan persekitaran pekerja termasuk keperluan yang tertakluk di bawah undang-undang buruh Malaysia dan standard antarabangsa.

 

Ini kerana IOI adalah antara anggota pengasas Rundingan Meja Bulat Kemampanan Minyak Sawit (RSPO) dan juga antara syarikat Malaysia yang pertama mengumumkan polisi pengambilan sifar yuran, yang mana pekerja tidak perlu membayar sebarang yuran atau caj penerbangan untuk menyertai syarikat ini kepada semua pekerja migran sejak 2017.

 

Malah, ia juga memberitahu, pihaknya telah bekerjasama dengan beberapa pakar hak asasi pekerja di peringkat domestik dan antarabangsa serta badan bukan kerajaan sejak lima tahun lalu bagi memantau pelaksanaan dasar tenaga buruh dan menyediakan cadangan bagi menambah baik polisi mereka, amalan dan keadaan di kawasan perladangan. 

 

"Kami juga menyedari bahawa ini adalah proses yang berterusan dan akan berusaha untuk mencapai objektif kami sebagai syarikat yang boleh dijadikan contoh dalam bidang ini," katanya. 

 

IOI menjadi syarikat Malaysia seterusnya yang berdepan dakwaan penggunaan buruh paksa oleh CBP AS selepas perkara sama menimpa Top Glove Corp. Bhd, Sime Darby Plantation Bhd. dan FGV Holdings Bhd. - DagangNews.com