Dakwaan Muhyiddin tidak mengambil vaksin ketika mengerjakan umrah adalah tidak benar | DagangNews Skip to main content

Dakwaan Muhyiddin tidak mengambil vaksin ketika mengerjakan umrah adalah tidak benar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Jan - Dakwaan Ustaz Abu Syafiq mengenai bekas Perdana Menteri Ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mendapat suntikan vaksin COVID-19 dan vaksin Meningococcal Meningitis ketika mengerjakan umrah pada Mac 2021 adalah tidak benar.

 

Pegawai Khas kepada bekas Perdana Menteri Ke-8, Mohd Naaim Mahmod berkata, Muhyiddin bersama semua delegasi telah menerima suntikan vaksin COVID-19 pertama sebelum berangkat ke Arab Saudi.

 

Beliau kemudian menerima suntikan kedua vaksin COVID-19 sejurus kembali ke tanah air dan pada masa sama, vaksin Meningococcal Meningitis tidak diwajibkan.

 

Mohd. Naaim memberitahu, lawatan kerja rasmi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 ke Arab Saudi ketika itu diadakan atas undangan kerajaan Arab Saudi tertakluk kepada SOP (prosedur operasi stadrad) yang ketat termasuk melakukan ujian RT-PCR sebelum, semasa dan selepas lawatan. 

 

Hasil ujian RT PCR ketika itu juga mendapati semua delegasi adalah negatif COVID-19.

 

"Pada masa itu, kerajaan Malaysia dan Arab Saudi tidak mengenakan syarat lengkap suntikan vaksin COVID-19 atau vaksin lain untuk mana-mana pengembara yang ingin melakukan perjalanan ke Arab Saudi. 

 

"Pergerakan delegasi di Arab Saudi juga dikawal ketat oleh pihak berkuasa dalam gelembung perjalanan (travel bubble) yang telah ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

 

Semalam, pendakwah bebas Ustaz Abu Syafiq mendakwa bekas Perdana Menteri Ke-8 itu serta beberapa ahli kerajaan yang lain tidak mengambil vaksin ketika menunaikan umrah baru-baru ini. - DagangNews.com