Dakwaan pertama Akta Perlindungan Pemberi Maklumat libatkan timbalan pengarah syarikat | DagangNews Skip to main content

Dakwaan pertama Akta Perlindungan Pemberi Maklumat libatkan timbalan pengarah syarikat

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Seorang timbalan pengarah sebuah syarikat menjadi individu pertama yang didakwa di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711), sejak berkuat kuasa pada 2010.

Tertuduh, Wafiy Abd Aziz, 35 didakwa telah menyebabkan seorang kakitangan dipecat susulan memberikan maklumat mengenai salah lakunya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengapi-apikan Pengerusi Education Malaysia Global Services, Datuk Abdul Rahman Mohamed Shariff supaya menandatangani dokumen penamatan pekerjaan ke atas lelaki terbabit sebagai tindakan balas terhadap pendedahannya kepada SPRM.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd. Afif Ali berkata, kesalahan di bawah Seksyen 10(3)(b) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat tidak boleh dijamin kerana tertuduh tiada hak untuk dibebaskan dengan jaminan yang bukannya hak automatik tertuduh untuk kesalahan berkenaan. 

"Meskipun ia satu kesalahan tidak boleh dijamin, pihak pendakwaan tidak membantah sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara untuk membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan sementara perbicaraan selesai.

"Mahkamah boleh mengenakan syarat-syarat tambahan seperti tertuduh menyerahkan dokumen perjalanannya kepada mahkamah dan juga melapor diri di Pejabat SPRM terdekat dalam tempoh waktu ditetapkan,” katanya menurut laporan Bernama. 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 10(3)(b) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 10(6) akta sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 15 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tambah Mohd. Afif, pihak pendakwaan turut mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia selain permohonan syarat-syarat tambahan lain iaitu tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

Walaubagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Siti Sarah Khalil memohon jaminan RM12,000 terhadap anak guamnya atas pertuduhan berkenaan.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia dan syarat tambahan untuk melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat dua minggu sekali dan tidak boleh mengganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 20 Oktober untuk sebutan semula kes. - DagangNews.com